Manchester United mempamerkan permainan mantap apabila mudah menewaskan Stoke City 3-0 di Old Trafford, awal pagi tadi.
Jaringan daripada Antonio Valencia, Anthony Martial di babak pertama dan Romelu Lukaku menambah kelebihan untuk menundukkan Stoke selepas empat kali mencuba.
Tetapi persembahan anak buah Jose Mourinho yang terlepas beberapa peluang menjaringkan gol menguatkan lagi andaian bahawa Mourinho sangat memerlukan Sanchez walaupun sudah ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.
Pengurus Stoke, Paul Lambert yang dilantik beberapa jam sebelum perlawanan, hanya menyaksikan pertembungan dari tempat duduk penonton dan beliau pastinya tidak terkejut melihat Valencia memberikan pendahuluan buat tuan rumah.
Pemain pertahanan kanan itu menerima hantaran Paul Pogba sebelum memperdayakan pertahanan pelawat, Joshua Tymon untuk meledak gol pertama.
Tymon juga wajar dipersalahkan untuk gol kedua United yang hadir pada minit ke-38 apabila melepaskan bola kepada Lukaku sebelum bekas pemain Everton itu membuat hantaran kepada Pogba.
Pemain tengah Perancis itu menolak bola kepada Martial yang tidak dikawal dan rakan senegaranya itu melepaskan rembatan ke penjuru gawang pelawat untuk gol kedua.
Lukaku menambah luka pelawat pada minit ke-72 menerusi rembatan dari jarak 15 ela.
FT: #MUFC 3 Stoke 0. @RomeluLukaku9's second-half strike seals a comfortable victory for United at Old Trafford. #MUNSTK pic.twitter.com/mA3joN1hZL
— Manchester United (@ManUtd) January 15, 2018
Mourinho ketika sidang akhbar selepas perlawanan berkata, beliau masih belum tahu mengenai kedudukan sebenar Sanchez yang dikhabar akan menyertai United.
“Masih belum ada sebarang berita mengenai Alexis Sanchez, dia masih lagi pemain Arsenal,” katanya kepada BBC.
“Jika dia kekal, ia satu khabar yang bagus buat Arsenal. Jika dia keluar, ia bagus untuk kami. Jika dia ke kelab lain, pasukan itu pasti beruntung.”
“Saya tidak tahu. Hari ini saya tidak memikirkan perkara itu saya hanya memikirkan soal perlawanan ini dan tidak bimbang dengan perkara lain.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara di luar jangkauan saya. Mungkin ada kelab lain yang berminat dan saya tidak mahu bercakap mengenai pemain Arsenal.” katanya.
City yang dipimpin Pep Guardiola, difahamkan enggan memenuhi tuntutan yuran perpindahan Sanchez yang mencecah STG35 juta (RM190.6 juta) ke atas pemain yang bakal menamatkan kontraknya di Emirates hujung musim ini.
Jika perpindahan itu menjadi kenyataan, ia bakal muncul rekod perpindahan ketiga terbesar bulan ini membabitkan kelab Liga Perdana selepas perpindahan Philippe Coutinho (Liverpool ke Barcelona) dan Virgil van Dijk (Southampton ke Liverpool).