Selepas terikat dengan keputusan seri dalam dua perlawanan, Arab Saudi kini tampak dalam tekanan untuk meloloskan diri ke pusingan suku akhir, Kejohanan AFC B-23 2018.
Ini diakui oleh ketua jurulatihnya, Daniel Teglia, selepas menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee hampir berjaya mengejutkan Jordan dalam perlawanan kedua tempohari.
“Sejujurnya, Malaysia beraksi dengan cukup baik menentang Jordan, kelmarin (Sabtu). Malah, mereka sepatutnya memenangi perlawanan tersebut,” ujar Teglia dalam sidang media selepas menentang Iraq.
“Mereka mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol menerusi percubaan Akhyar Rashid dan Matthew Davies yang terkena palang,” tambahnya lagi.
Teglia yakin perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C nanti pasti akan lebih sengit kerana semua pasukan memiliki peluang sama rata untuk melayakan diri ke pusingan seterusnya.
Di atas kertas, sememangnya Arab Saudi memiliki lebih peluang untuk menang dan seterusnya layak ke suku akhir, namun, Teglia dilihat cuba mengalihkan lebih perhatian kepada kemampuan skuad negara.
“Malaysia memiliki ramai pemain yang bagus dan saya yakin ia akan menjadi perlawanan yang sengit, di mana ianya akan jadi lebih menarik dan menghiburkan.
“Ketika ini semua pasukan berpeluang untuk layak ke peringkat suku akhir dan pastinya kami ingin merebut peluang untuk terus mara dalam kejohanan ini,” jelasnya.
“Malaysia juga mempamerkan mereka cukup bahaya di bahagian sayap yang digerakan oleh Akhyar dan Davies,” tambahnya dengan sekali lagi menekankan dua nama iaitu Akhyar dan Matthew Davies.
Sementara itu, di kem skuad negara, Kim Swee mahukan anak buahnya mengambil kesempatan ke atas situasi yang dihadapi oleh Arab Saudi ketika ini.
“Saya rasa Arab Saudi akan rasa lebih tertekan dengan status mereka di mana mereka perlu mendapatkan keputusan lebih baik daripada kita.
“Sudah tentu Arab Saudi adalah pasukan pilihan tapi kita juga perlukan kemenangan untuk membuka laluan semula layak ke suku akhir,” ujar Kim Swee kepada Berita Harian.
Skuad kendaliannya masih boleh mengintai peluang untuk mara dan perlu kekalkan momentum ketika ini untuk menundukkan Arab Saudi seterusnya layak ke peringkat suku akhir.