Barcelona berjaya melengkapkan perpindahan kedua pasukan pada jendela perpindahan ini apabila mendapatkan khidmat pemain pertahanan antarabangsa Colombia, Yerry Mina dengan nilai €11.8 juta.
Mina yang diikat selama lima tahun setengah itu pada mulanya dijadualkan akan menyertai kelab Catalan tersebut pada musim panas nanti, namun kesepakatan telah diambil bagi membawa pemain pertahanan dari Palmeiras itu lebih awal.
Urusan bagi memancing Mina sepatutnya dilakukan selepas Piala Dunia 2018 di Russia tetapi pihak Barcelona memilih untuk mempercepatkan urusan tersebut tatkala pemain tersebut juga turut menyatakan keinginnya bagi menyertai skuad yang dibimbing Ernesto Valverde itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web rasmi Barcelona: ”Yerry Mina datang ke Barcelona dengan peluang untuk terus mengembangkan bakat sebagai pemain bola sepak dengan berhijrah ke Eropah. Tanpa ragu pemain dari Colombia ini mampu untuk melakukannya.”
Kehadiran Mina di Nou Camp dapat meningkatkan kekuatan jentera pertahanan Barcelona selepas Javier Mascherano dilaporkan akan meninggalkan kelab tersebut dengan kelab China, Hebei China Fortune menyatakan minat untuk merekrut pemain antarabangsa Argentina itu.
Yerry Mina yang berketinggian 195 cm itu disifatkan oleh Barcelona sebagai seorang pemain yang tinggi dan pantas serta mampu menjadi ‘ball playing defender’.
Ketika bersama Palmeiras, Mina telah berjaya mencipta 9 jaringan daripada 49 penampilan bersama kelab dari Brazil itu.
Dalam kancah antarabangsa pula, beliau menjaringkan 3 gol dalam 9 penampilan bersama skuad kebangsaan Colombia. Mina melakukan debut antarabangsanya pada 8 Jun 2016.
Ketika ini, Valverde akan meletakkan Thomas Vermaelen untuk bergandingan di bahagian pertahanan tengah bersama Gerrard Pique berikutan kecederaan hamstring yang dialami Samuel Umtiti.