Bukan hanya kepulangan Carlos Tevez ke Boca Juniors sahaja mendapat tempat di media tempatan Argentina, malah kepulangan bekas pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Gabriel Guerra turut menjadi bualan di sana.
Beberapa media di sana dilihat telah memuat naik artikel mengenai kepulangan semulanya ke Boca Juniors antaranya di Goal Argentina, Minutouno, Eldia dan La Nacion.
Ini kerana, bukan sahaja Guerra adalah produk kelahiran kelab yang berpengkalan di Argentina itu, malah mungkin atas faktor rekod baiknya ketika beraksi bersama PKNS dan JDT.
Pemain yang baru berusia 24 tahun itu telah tersenarai dalam senarai 33 pelatih untuk latihan pra musim kelab yang diberi jolokan ‘Azul y Oro’ (Biru dan Emas).
Ketua jurulatih, Guillermo Barros Schelotto dan barisan kejurulatihan kelab dilaporkan ingin melihat tahap kemampuan terkini bekas produk mereka itu setelah tiga tahun berkelana di Malaysia.
Menurut laporan Goal Argentina, daripada 109 penampilannya di Malaysia, Guerra telah meledak 65 gol, satu jumlah yang agak baik pada pandangan kelab.
Bagi Boca Juniors, aksi di sepanjang pra musim ini akan tetap dipantau kerana walaupun memiliki rekod yang baik di Malaysia, mereka menganggap tahap liga antara kedua-dua negara adalah berbeza.
Sebenarnya para penyokong teruja dengan kehadiran beberapa pemain baharu antaranya Tevez, Ramon Wanchope Abila, Julio Buffarini dan Nahitan Nandez, namun kelibat Guerra turut menjadi bualan.
Ini kerana, sebelum ini, mereka tidak pernah mengenalinya dan apabila gambarnya bersama Nandez dilihat sedang memanaskan badan, ia telah menimbulkan persoalan, siapakah pemain tersebut?
Menurut laporan La Nacion, Guerra teruja untuk kembali ke Boca Juniors dan gembira telah diberikan peluang untuk menonjolkan bakatnya kepada kelab yang telah melahirkannya.
Guerra telah dilepaskan oleh JDT kerana gagal meninggalkan impak sebagaimana yang telah dilakukan oleh Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martín Lucero pada musim sebelumnya.
Selain itu, kehadiran semula Diaz dan kembalinya Luciano Figueroa daripada persaraan telah menyebabkan dia dan rakan di jentera serangan, Gonzalo Cabrera tersisih.
Dilaporkan akan kembali ke PKNS, kelab pertama yang disertainya ketika berkelana ke Malaysia, Guerra akhirnya memilih untuk pulang ke tanah airnya menyertai semula Boca Juniors.
Juara Liga Premier Argentina musim lalu itu ketika ini dalam latihan pra musim yang berlangsung di pusat latihan mereka di Los Cardales, Buenos Aires.