Persatuan Bola Sepak England (FA) mengenakan hukuman gantung 3 perlawanan dan denda terhadap pengurus Arsenal, Arsene Wenger berikutan kritikannya terhadap mutu pengadilan pada Ahad lalu, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika berdepan West Brom.
Beliau juga diminta FA untuk memberikan penjelasan mengenai apa yang dikatakannya terhadap keputusan penalti yang tidak menyebelahi Gunners dalam kedua-dua perlawanan mereka ketika berdepan Baggies dan Chelsea.
“Arsene Wenger akan dikenakan hukuman penggantungan untuk tiga perlawanan seterusnya selepas didakwa atas salah laku,” kata kenyataan FA.
“Ia berikutan pendengaran kes oleh suruhanjaya bebas mengenai peraturan yang mendapati pengurus Arsenal itu mengakui bahasa digunakannya dan kelakuan terhadap pegawai perlawanan selepas perlawanan menentang West Brom pada Ahad adalah salah, tidak sepatutnya dan mempersoalkan integriti pengadil perlawanan. Dia juga didenda 40,000 pound (RM216,703).”
Ahad lalu, Wenger berang dengan keputusan pengadil Mike Dean yang memberikan sepakan penalti kepada West Brom pada minit ke-89 selepas bola terkena tangan Calum Chambers.
“Ia amat mengecewakan,” kata Wenger. “Apa yang lebih mengecewakan ialah ia sering terjadi musim ini – di Stoke, Watford, Man City, dan sekarang West Brom.
“Ia satu kebetulan yang membimbangkan. Sebab itulah saya tidak gembira langsung dengan keputusan pengadil memberikan penalti. Ia langsung tidak berkaitan dengan apa yang berlaku. Dia melihat apa yang dia mahu lihat.” jelasnya.
Wenger turut membantah keputusan penalti ‘tidak masuk akal’ yang menjadi punca Arsenal sekadar terikat 2-2 dengan Chelsea pada hari Rabu lepas.
Beliau terkejut selepas pengadil Anthony Taylor menghadiahkan penalti pada separuh masa kedua kerana asakan Hector Bellerin ke atas Eden Hazard dalam aksi panas tetangga London itu di Stadium Emirates.
Jelas Wenger, Taylor tiada bukti yang kukuh dalam memutuskan keputusan terbabit sebelum ia disempurnakan Hazard untuk memadamkan jaringan awal Jack Wilshere.
Tetapi Wenger bagaikan tidak mampu mengawal api kemarahannya selepas sebelum ini turut dihukum oleh penalti kontroversi.
“Kami sekali lagi dihukum penalti tidak masuk akal, tetapi sebelum perlawanan lagi kami tahu ia (boleh berlaku).
“Anda boleh memberikan 10 penalti sebegitu dalam satu perlawanan. Sejak awal musim lagi kami sering berdepan situasi seperti ini.
“Saya bosan dengannya. Buat masa ini kami sering berdepan keputusan mengejut ini. Tiada apa yang akan berubah dan kami perlu berdepan dengannya.”
Walaupun beliau berisiko berdepan satu lagi pertuduhan, pengendali dari Perancis itu menegaskan beliau sedia menjawab pertuduhan itu di depan FA England.
“(Saya sedia menjawab pertuduhan itu) 100 peratus. Anda boleh mendengar seluruh wawancara dan saya kekal dengan apa yang saya cakap tanpa takut,” katanya.