2 bintang muda Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armayn akhirnya sudah tiba di Malaysia semalam untuk menyertai sesi latihan pasukan Selangor.
Evan mengakui teruja dan tidak sabar beraksi dengan pasukan gergasi merah itu yang terkenal dengan sejarah pembabitan pemain dari Indonesia.
“Selangor pasukan besar dan memiliki sejarah dengan pemain Indonesia. Jadi, ini peluang saya mengikut jejak langkah pemain ternama Garuda seperti Elie Aiboy, Bambang Pamungkas dan Andik Vermansyah.
“Jadi, berbekalkan pengalaman berkelana di Eropah sebelum ini, saya mahu membalas kepercayaan Selangor dan cuba membantu pasukan ini meraih kejuaraan liga atau sekurang-kurangnya memenangi piala,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Evan tiba bersama rakan sepasukannya, Ilham Udin Armaiyn dan ketibaan mereka disambut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Rauf Ahmad dan Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim.
Seorang lagi pemain import Selangor dari Indonesia, Ilham mahu menimba pengalaman baharu beraksi di luar Indonesia dan akan berusaha keras membantu Selangor meraih kejuaraan.
“Sebagai pemain muda yang beraksi di kelab luar dari Indonesia, sudah pasti saya meminta panduan daripada pemain senior dan saya berterima kasih kepada mereka kerana berkongsi pengalaman sepanjang mereka beraksi di sini.
“Ini juga peluang untuk saya menimba pengalaman baharu demi memajukan lagi karier saya. Saya akan bekerja keras menjadikan Selangor pasukan yang lebih baik selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua jurulatih Selangor, P Maniam mengakui lega apabila dua importnya dari Indonesia sudah sah menyertai skuad The Red Giants musim depan.
Bercakap kepada Sinar Harian, Maniam menyifatkan kehadiran kedua-dua pemain itu akan memastikan perancangan untuk memantapkan pasukan dapat berjalan lancar.
“Sudah semestinya saya lega dan gembira dengan berita tersebut apatah lagi ia memudahkan kerja saya untuk membentuk pasukan selepas ini.
“Saya juga sudah mempunyai perancangan taktikal untuk Evan dan Ilham dalam pasukan,” katanya.
Maniam juga mengharapkan agar keserasian akan segera dibentuk antara kedua-dua pemain itu dengan kesemua pemain lain kerana tarikh perlawanan pertama Liga Super semakin hampir.
“Saya percaya dengan kualiti yang ada pada kedua-dua pemain selain Evan dan Ilham merupakan pemain profesional yang semestinya sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila berada dalam pasukan baru.
“Saya juga mempunyai empat minggu untuk membentuk pasukan sebelum liga bermula dan saya cukup berpuas hati dengan kesemua pemain yang ada sekarang,” katanya.
Presiden Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi menerusi laporan media Indonesia sebelum ini membidas keputusan dua pemain skuad B-23 Indonesia itu menyertai pasukan Selangor dengan melabel mereka sebagai tidak patriotik dan ‘mata duitan’.
Dia turut bimbang corak permainan 2 pemain ini akan dikaji oleh jurulatih Malaysia serta Selangor tidak akan membenarkan dua pemain itu menyertai latihan pusat skuad Indonesia sekiranya dipanggil.