Kelab Divisyen 1 Perancis, Angers SCO dilaporkan semakin hampir mendapatkan pemain import terbaik Liga Malaysia, Liridon Krasniqi. Sumber Telegraph melaporkan Angers bersedia untuk menebus kontrak pemain Kedah itu yang tamat pada Jun tahun 2019.
Angers dijangka akan membayar pampasan kontrak kira-kira € 500,000 (RM2.4 Juta) untuk pemindahan Liridon ke liga tersebut.
Laporan itu turut melaporkan Liridon bersama ejennya akan ke Perancis untuk memuktamadkan rundingan akhir bersama kelab itu.
Jika rundingan itu berjaya, pemain Kosovo tersebut berpeluang berhadapan dengan pemain bertaraf dunia dalam saingan Divisyen 1 Perancis seperti Neymar yang kini bersama kelab PSG.
Kehadiran Liridon terus menjadi tanda tanya apabila kelibatnya tidak kelihatan pada sesi latihan pasukan Kedah.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar, berkata kepada Berita Harian pihaknya tidak akan menghalang pemain tengahnya itu jika dia memilih untuk menyertai kelab itu namun perlu mengikut syarat kontrak dipersetujui bersama.
“Sekiranya dia mahu ‘break the contract’ (batalkan kontrak) sedia ada, beliau perlu mendapatkan persetujuan bersama antara kedua belah pihak mengikut syarat kontrak ditandatangani.
“Kita tidak menegah dan ia bergantung kepada kontrak sedia ada dengan pihak KFA dan dia masih lagi ada kontrak pada musim ini.
“Pada pemahaman saya, Presiden KFA juga pernah berkata beliau tak akan menyekat mana-mana pemain Kedah menyertai kelab lain atas dasar mereka mahu memperluaskan karier mereka dan sebagainya, dan kita tidak ada masalah berkaitan perkara berkenaan,” katanya kepada Berita Harian.
https://twitter.com/kosovanfooty/status/948829226257604608
Namun setakat ini, belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada pihak Angers dan ejen Liridon dijangka akan berbincang serta memuktamadkan mengenai tawaran kelab itu minggu ini.
Liridon pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan Kosovo dan pernah bersama kelab Mlada Boleslav di Republik Czech serta kelab Osmalispor dan Fethiyesppor di Turki.
Liridon mula menyertai Kedah pada 2015 dan kontraknya bakal berakhir hujung musim ini.
Dia cemerlang membantu Kedah menjuarai Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala Sumbangsih dan Piala FA musim lalu.
Selain menjaringkan banyak gol untuk Kedah, dia juga pernah memenangi anugerah Pemain Import Terbaik dan Pemain Import Paling Popular 2017.