Lupakan usaha berjam-jam pada setiap hari di padang latihan. Bagi penyerang antarabangsa Uruguay dan Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, aktiviti memancing ikan adalah salah satu kaedah untuk mempertajamkan penyudah di hadapan gawang lawan.
Pemain yang telah tampil di dalam 98 perlawanan antarabangsa untuk Uruguay ini hanya perlu menjaringkan satu gol sahaja lagi untuk menyamai rekod jaringan oleh Zlatan Ibrahimovic di PSG.
Untuk rekod, Ibrahimovic telah menghasilkan sebanyak 156 gol sepanjang empat musim di kelab Perancis tersebut, di antara tahun 2012 sehingga 2016.
Sejak Ibrahimovic meninggalkan Les Parisiens untuk ke Old Trafford, Cavani akhirnya seperti berjaya melarikan diri dari bayangan bekas penyerang antarabangsa Sweden itu, dan cemerlang mengetuai barisan serangan PSG bersama-sama Neymar dan Kylian Mbappe.
Baru-baru ini, Cavani berkongsi akan kaitan bola sepak dengan aktiviti memancing, yang merupakan salah satu aktiviti kegemaran dan hobi beliau di masa lapang.
“Memancing membuatkan saya rasa aman dan memberikan ketenangan. Sebagai seorang pemain di barisan hadapan, ia membantu saya dengan ketajaman pada penglihatan,” ujar Cavani kepada The Telegraph.
“Ketika memancing, anda perlu bijak menunggu masa yang sesuai untuk bertindak, sebelum berjaya melakukan pancingan. Di dalam bola sepak, posisi permainan saya mempunyai peranan yang lebih kurang sama.”
“Anda harus menunggu masa yang sesuai untuk melakukan serangan. Saya perlu menunggu ikan untuk menyambar umpan yang saya lemparkan.”
“Kemudian anda harus bersabar dan memberikan fokus yang sewajarnya, sebelum bertindak pantas apabila tiba masanya. Ia adalah sama seperti anda bermain bola sepak.”
“Anda bersiap sedia untuk melancarkan serangan pada waktu yang betul,” tambah Cavani lagi.
“Ketika saya masih seorang kanak-kanak, ia bukanlah sesuatu yang saya fikirkan. Namun ketika saya semakin dewasa, ia adalah sesuatu yang saya amalkan untuk memastikan karier bola sepak saya terus berkembang.”
“Sebagai seorang penyerang, elemen yang penting ialah untuk menjaringkan gol. Dan aktiviti memancing banyak membantu saya untuk berbuat demikian.”
Berdasarkan prestasi semasa Cavani, aktiviti memancing mungkin boleh dipertimbangkan sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan prestasi sebagai penyerang.
Selepas 19 perlawanan Ligue 1, Cavani mendahului carta senarai penjaring dengan 19 gol, sekaligus membantu PSG menduduki tangga teratas liga.
Bekas pemain Napoli ini turut telah menjaringkan 6 gol dalam pertandingan UEFA Champions League (UCL) pada musim ini.