Mesej Kim Swee Kepada ‘Pak Arab’, Kami Yakin Mampu Beri Tentangan

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee melaungkan keyakinan bahawa para pemainnya mampu memberikan tentangan kepada lawan dalam saingan Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 2018.

Malaysia telah diundi di dalam Kumpulan C bersama-sama bekas juara, naib juara dan tempat ketiga untuk edisi pertama kejohanan ini yang telah dianjurkan pada tahun 2013.

Semuanya BOLA telah berpeluang menghubungi Kim Swee sendiri untuk mendapatkan serba sedikit perkembangan terkini skuad muda negara menjelang kejohanan tersebut, minggu hadapan.

“Tiga pasukan Arab yang berada dalam kumpulan kita mempunyai rekod yang baik dalam kejohanan B-23 sebelum ini,” ujar Kim Swee mengenai ketiga-tiga lawannya itu kepada Semuanya BOLA.

“Namun dengan persiapan kita kali ini, saya yakin pemain mampu menyaingi dan memberi tentangan kepada mereka,” tambahnya lagi sambil mahukan anak-anak buahnya lebih fokus kepada pasukan sendiri.

Sesi latihan skuad B-23 negara. Foto: Facebook FAM.

Melihatkan rekod pertembungan skuad B-23 negara dengan ketiga-tiga pasukan tersebut, Malaysia hanya pernah bertembung sekali dengan Arab Saudi dalam Sukan Asia 2014 di Korea Selatan.

Dalam pertembungan itu, skuad muda negara tumbang 0-3 kepada Arab Saudi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Malaysia ketika itu turut dibimbing oleh Kim Swee.

“Semua pemain perlu mengambil kesempatan beraksi di kejohanan yang saya fikir paling besar buat mereka apabila bertanding dengan pasukan-pasukan gergasi Asia.

“Ini akan menguji tahap kekuatan sebenar kita dan pada masa yang sama dapat membuktikan kita mampu menyaingi setiap pasukan di sini,” jelas Kim Swee lagi.

Seperti yang dilaporkan dalam artikel Ong Kim Swee: “Mahu Melangkah Ke Peringkat Kalah Mati, Tetapi Perlu Realistik”, dia sekurang-kurangnya mahu skuadnya melangkah ke peringkat kalah mati.

Sesi latihan skuad B-23 di China. Foto: Facebook FAM.

Tambahnya lagi, dia mahu setiap pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi agar skuad B-23 mampu melangkah lebih jauh serta layak ke pusingan seterusnya.

Untuk aksi persahabatan terakhir menentang Syria B-23, petang ini, Kim Swee dijangkakan akan mencuba gandingan utama yang bakal membawa cabaran negara.

Jurulatih berusia 47 tahun itu turut menyatakan yang dia sudah memiliki pilihan untuk kesebelasan utama, namun terdapat dua posisi lagi masih boleh direbut oleh para pemainnya.

“Terdapat dua posisi lagi yang masih belum saya putuskan (pemain). Sembilan pemain lagi sudah pasti berada dalam kesebelasan utama.

“Masih terdapat satu atau dua kombinasi yang perlu saya lihat dan esok (hari ini) adalah peluang terakhir saya untuk memuktamadkannya,” tambahnya lagi.

Semuanya BOLA turut bertanyakan mengenai rangkaian jentera serangan yang bakal menjadi taruhannya untuk kejohanan itu nanti.

Safawi Rasid (kiri) dan N. Thanabalan. Foto: Facebook FAM.

Ini kerana, berbanding Sukan SEA 2017 yang lalu, skuad kali ini turut menyenaraikan dua muka baharu iaitu R. Kogileswaran dan Hadi Fayyadh Abdul Razak.

“Mereka merupakan pemain muda yang cukup berpotensi dan saya percaya mereka mampu beraksi pada tahap ini,” jelas Kim Swee mengenai kedua-dua pemain tersebut.

“Samada diturunkan ataupun tidak, tetapi pendedahan kejohanan ini penting buat pengalaman mereka untuk di bawa pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Selain itu, Kim Swee juga yakin dengan kemampuan empat lagi penyerang iaitu N. Thanabalan, Jafri Firdaus Chew, Safawi Rasid serta penyerang berusia 18 tahun, Akhyar Rashid.

Thanabalan, Jafri dan Safawi telah menjadi penyumbang utama gol dalam aksi Sukan SEA baru-baru ini dengan Thanabalan menjaringkan empat gol, sementara Jafri dan Safawi masing-masing meledak dua gol.

Apabila ditanya mengenai status kecergasan para pemainnya, Kim Swee jelas lega kerana semua pemain bebas daripada kecederaan ataupun masalah kesihatan.

“Ketika ini semua pemain tidak mengalami kecederaan yang serius. Dan ini terpulang pada sehari sebelum kita bermula.

“Jika ada kecederaan serius saya akan memikirkan tentang penggantian pemain,” jelas Kim Swee sebelum mengakhiri bicaranya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN