Bekas pemain tengah Barcelona dan Sepanyol, Xavi Hernandez menyifatkan beliau dapat melihat persamaan diantara bekas kelabnya dan Manchester City dengan seorang pemain memainkan peranan utama.
Menurut Xavi, Pep Guardiola telah menambah ‘DNA Barcelona’ ke dalam skuad Manchester City dan Kevin De Bruyne memainkan peranan yang sama seperti dimainkan oleh Lionel Messi di kelab Catalan itu.
Di sebalik berjaya memenangi pelbagai kejuaraan di Nou Camp dan Allianz Arena, Pep Guardiola gagal memenangi sebarang kejuaraan pada musim pertamanya di Stadium Etihad.
Namun permulaan hebat ketika ini dengan rentetan 18 kemenangan serta meninggalkan Manchester United dengan 15 mata ditempat kedua Liga Perdana Inggeris semakin menampakkan penguasaan City dibawah kendalian pengendali dari Sepanyol itu.
”Pasukan Pep (Guardiola) menang sebagai satu pasukan tetapi sebuah pasukan yang istimewa memerlukan seorang pemain yang melihat mereka memerlukan sesuatu yang istimewa,” kata pemenang Piala Dunia bersama Sepanyol itu kepada The Mirror.
”Di Barcelona kami mempunyai Messi dan Manchester City mempunyai De Bruyne.”
”Setiap masa dia mempunyai bola, anda dapat merasakan dia akan melakukan sesuatu yang istimewa.”
”Bukan semua perlawanan anda boleh menang 3-0 atau 4-0 terutamanya dalam Liga Juara-Juara Eropah dan apabila anda memerlukan satu keadaan yang cemerlang dari seorang pemain yang istimewa (merujuk kepada Messi dan De Bruyne).”
Xavi juga turut mengulas mengenai rakan senegaranya dalam skuad Manchester City, David Silva.
”David Silva sedang menikmati karier bola sepak terbaiknya. Saya dapat lihat daripada menonton aksinya bahawa dia belajar dari Pep.”
”Dia bukan lagi seorang pemain muda tetapi apabila anda mempunyai pemain yang cerdas dan mempunyai visi, ianya tidak menjadi masalah.”