Pemain tengah skuad kebangsaan Filipina, Misagh Medina Bahadoran bakal mengisi kuota pemain import asean untuk pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pemain yang berusia 30 tahun itu akan mengemudi jentera tengah skuad The Red Warriors (TRW) dengan tawaran kontrak selama setahun.
Selain itu, Kelantan turut akan mengikat bekas penyerang import Melaka United, Marko Simic.
Bercakap kepada Berita Harian, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan perkembangan itu.
Katanya, Simic dan Bahadoran dijadual tiba di sini, pada hari Khamis ini bagi menandatangani kontrak.
“Simic bersetuju menandatangani kontrak selama setahun dan KAFA bersetuju menandatangani kontrak dengan beliau secepat mungkin,” katanya.
Bibi juga turut menjelaskan Misagh Bahadoran merupakan pilihan yang terbaik untuk slot pemain Asean berdasarkan prestasi mantap ketika mewakili skuad kebangsaan Filipina dan Global FC.
“Buat masa ini, Bahadoran menjadi pilihan KAFA untuk digandingkan dengan Marco Simic mengetuai jentera serangan pasukan.
“Bahadoran yang juga bekas pemain kebangsaan Filipina itu bakal hadir pada Jumaat ini dalam majlis jamuan ramah mesra KAFA bersama Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) dan peminat di Kok Lanas,” katanya.
Bibi Ramjani berkata, TRW kini boleh menumpukan sepenuhnya kepada latihan selepas melengkapkan lima kuota awang import musim depan.
“Perlawanan persahabatan pra musim bakal diadakan dengan Terengganu II (TFC II) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Khamis ini. Ia akan memberi peluang kepada ketua jurulatih, Sathit Benshoh untuk menguji tahap keserasian pemain tempatan dan import pasukan.
“Kita akan mempersiapkan pasukan bagi merebut Piala Sportfix Super Cup yang menyaksikan saingan tiga penjuru menentang dua pasukan liga utama dari Indonesia, Persija Jakarta dan dari Thailand, (Ratchaburi FC) bermula 15 hingga 24 Januari ini,” katanya.
Selain Simic dan Bahadoran, Kelantan setakat ini sudah mengikat bekas pemain import UiTM FC kelahiran Korea Selatan, Do Dong Hyun bersama Cassio Francisco De Jesus dari Brazil dan Margaro Lima Gomis dari Senegal.