Daily Mail melaporkan kisah rumah keluarga Mohamed Salah dipecah masuk pencuri di Mesir telah menjadi berita panas satu ketika dahulu di negara beliau.
Ketika itu Mohamed Salah masih bermain bola sepak di negaranya. Namun yang menarik perhatian adalah Mohamed Salah telah meminta ayahnya menggugurkan pertuduhan dan memberikan pencuri itu sejumlah wang.
Mohamed Salah ditemuramah oleh Daily Mail dan berkongsi tentang kehidupan beliau membesar di Mesir. Dan wartawan tersebut mendapat tahu yang ada kisah tentang pencuri tersebut.
Ayah Salah awalnya hanya menyerahkan kes itu kepada pihak polis. Namun, beberapa hari selepas itu, Mohamed Salah mendapat tahu kisah pencuri tersebut terpaksa mencuri kerana ada masalah kewangan dan hilang pekerjaan, Mo Salah telah memaafkan pencuri itu.
Salah juga telah memujuk ayahnya untuk menggugurkan pertuduhan. Beliau berharap pencuri itu tidak mengulangi perbuatannya dan memberikan peluang untuk pencuri itu bertaubat.
Salah juga telah memberikan sejumlah wang untuk pencuri itu. Kisah lebih menarik, apabil Salah sendiri membantu pencuri itu mendapatkan kerja.
Peristiwa ini diceritakan sendiri oleh ayahnya ketika Mohamed Salah masih di Alexandria.
“Apabila anak saya mendapat tahu tentang perkara ini, dia meminta saya untuk menggugurkan pertuduhan.”
“Salah telah memberikan pencuri itu sejumlah wang untuk membina semula kehidupannya dan lari daripada tempat itu. Salah telah membantu dia mencari kerja.”
Kisah Mohamed Salah terus menjadi perhatian di Eropah sejak beliau menyertai Liverpool. Banyak sudah kisah inspirasi beliau dalam temu ramah dengan media di Liverpool.
Dalam satu temu ramah khas dengan LFC TV beliau juga berkongsi kisah beliau ketika kecil di Mesir. Kisah seorang kanak-kanak yang ingin berjaya dalam bola sepak.
Beliau bersyukur dengan kurniaan tuhan di atas bakat beliau yang melancarkan karier beliau buat masa ini.
Antara kisah menarik dikongsikan Mo Salah adalah ketika beliau terpaksa mengambil sehingga 5 buah bas untuk sampai ke pusat latihan yang jauh. Beliau berkata kepada LFCTV:
“Awalnya saya bermain untuk kelab yang hanya 30 minit daripada kampung saya di Basyoun.”
“Kemudian saya menyertai Tanta, ianya sejam setengah perjalanan. Dari sana saya menyertai pasukan Arab Contractors di Cairo yang jauhnya sekitar 4 jam setengah perjalanan.”
“Saya perlu melalui 4 jam setengah perjalanan untuk ke pusat latihan 5 hari seminggu.”
“Saya perlu sampai ke pusat latihan di Basyoun sebelum pukul 9 pagi. Dan saya hanya akan sampai di rumah pada 10.30 petang.”
“Saya akan keluar awal dari sekolah selepas kelab saya menghantar surat rasmi kepada kelab saya untuk memberikan perlepasan. Saya akan masuk sekolah dari pukul 7 sehingga pukul 9 pagi. Dengan itu saya boleh sampai di pusat latihan pukul 2 petang untuk berlatih.”
“Saya hanya ada 2 jam untuk sekolah dan selebihnya di pusat latihan. Saya dapat bayangkan jika saya tidak menjadi pemain bola sepak, ianya pasti sesuatu yang sukar.”
“Saya bergerak 9 pagi, paling awal saya sampai dalam pukul 2 atau 2.30 petang. Tetapi selalunya 3.30 petang ataupun 4 petang.”
“Saya tamat latihan pukul 6 petang dan saya hanya akan sampai di rumah pada pukul 10 atau 10.30 malam. Selepas itu makan, tidur, hari seterusnya buat benda yang sama.”
“Ianya bukan naik 1 bas sahaja tetapi 3, 4 atau kadangkala 5 bas barulah saya sampai di pusat latihan dan kemudian balik ke rumah pada petang.”
Mohamed Salah tidak pernah lupa dengan kampung halaman beliau. Mo Salah sentiasa meluangkan masa terutama sekali pada bulan ramadan untuk bersedekah dan menjalani ibadat puasa di sana bila ada kesempatan.
Bagi pemain yang bermain di Eropah seperti beliau, memang tak banyak masa untuk beliau berbuat demikian. Namun beliau akan cuba ‘mencuri’ kesempatan.
Beliau juga dikatakan sentiasa memberikan hadiah kepada kanak-kanak di kampung beliau pada bulan ramadan.
Beliau menjadi idola ramai kanak-kanak dan juga menjadi hero Mesir yang membantu negaranya ke Piala Dunia.
Kisah yang menarik daripada Mohamed Salah yang kita semua boleh jadikan inspirasi. Tiada apa yang mustahil jika kita gigih untuk mencapainya. Dan jangan sesekali lupa asal usul kita.
Mohamed Salah bukan sahaja menjadi ‘duta’ kepada Mesir di mata dunia malah menjadi duta umat Islam kepada dunia.