Bintang Chelsea, Eden Hazard mahu Manchester City menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya Chelsea tidak mampu untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu.
Manchester City ketika ini sedang berada di kemuncak prestasi apabila semakin melebarkan jurang penguasaan kepada 13 mata bagi meninggalkan musuh setempat, Manchester United di tempat kedua. Manakala pasukan diwakili Hazard, Chelsea ditempat ketiga.
Sebab utama Hazard mahu melihat Manchester City meraih kejuaraan musim adalah kerana rakan senegara beliau iaitu Kevin De Bruyne.
De Bruyne kini memainkan peranan yang cukup penting buat kelabnya apabila berjaya menjaringkan 6 gol, mencipta 8 bantuan jaringan dan melakukan 1412 hantaran tepat selepas menamatkan 19 perlawanan liga.
Ketika Chelsea semakin sukar untuk mengekalkan kejuaraan, Hazard mengakui beliau gembira sekiranya Manchester City dapat menjuarai EPL kerana kejayaan tersebut dapat memberikan lebih keyakinan buat De Bruyne menjelang Piala Dunia 2018 di Russia nanti.
Bercakap dalam satu sesi temuramah bersama Sky Sports, Hazard berkata: ”Dia adalah rakan saya, sudah pasti apabila saya bertemu Manchester City, saya mahu menewaskannya tetapi selepas tamat 90 minit perlawanan, dia adalah rakan saya.”
”Kami beraksi bersama-sama buat Belgium dan kami mempunyai Piala Dunia untuk diharungi. Saya mahukan kejuaraan liga tetapi ketika ini keadaan sangat sukar.”
”Jadi jika kamu (De Bruyne) memenangi liga musim ini dan ianya akan memberikan keyakinan bagi menghadapi Piala Dunia, ianya sangat bagus buat Belgium. Jadi Kevin (De Bruyne), kamu tahu apa yang perlu dilakukan, kawan!”
Eden Hazard menjadi tunjang kepada kejayaan Chelsea meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam masa 3 tahun terakhir ini.
Kelab London Barat itu seri tanpa jaringan dalam kunjungan ke Goodison Park bertemu Everton semalam dan akan menanti kunjungan Brighton di Stamford Bridge pada ‘Boxing Day’ nanti.