Enam gol telah dihasilkan oleh pemain yang berbeza pada perlawanan menarik diantara Arsenal bertemu Liverpool pagi tadi di Stadium Emirates dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Alexis Sanchez, Granit Xhaka dan Mesut Ozil meledakkan jaringan buat tuan rumah manakala seperti biasa gandingan trio Phillipe Coutinho, Mohamed Salah dan Roberto Firmino meletakkan nama selaku penjaring Liverpool.
Skuad bimbingan Jurgen Kloop yang mendominasi permainan pada babak pertama berjaya mendahului Arsenal dengan kelebihan dua jaringan pada minit ke-52.
Namun Arsenal bingkas untuk bangkit seminit kemudian bagi mencipta tiga jaringan pantas dalam masa lima minit sekaligus memadam kelebihan jaringan Coutinho dan Salah itu.
Selepas melihat Arsenal melakukan kebangkitan mendadak, Firmino yang menerima hantaran dari Emre Can berjaya melakukan rembatan yang menewaskan Petr Cech walaupun penjaga gol berusia 35 tahun itu pada mulanya sudah berjaya menepis percubaan tersebut lalu masuk ke dalam gawang yang dikawalnya.
Keputusan 3-3 pada perlawanan menarik tersebut kekal hingga tamat permainan dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Opta, sebanyak 27 jaringan telah dihasilkan dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris melibatkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan Arsenal mencipta 10 jaringan manakala Liverpool mencatatkan 17 gol.
Arsenal telah melepaskan 7 gol dalam dua perlawanan liga bertemu Liverpool musim ini selepas mereka kecundang 4-0 ditangan lawan tersebut pada pusingan pertama di Anfield.
Rekod paling banyak dibolosi oleh Arsenal adalah pada musim 2011/12 dengan 10 jaringan ketika bertemu Manchester United. Arsenal tewas 8-2 di Old Trafford dan 2-1 di laman sendiri.
Sementara itu, penjaring gol ketiga Liverpool, Roberto Firmino telah terlibat dalam lapan gol ketika lima perlawanan terakhir liga Liverpool bertemu Arsenal apabila mencatatkan 5 gol dan 3 bantuan jaringan.