Pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich berjaya meneruskan perjuangan pada kempen Piala DFB (DFB Pokal) setelah menumpaskan seteru utama, Borussia Dortmund 2-1 dalam saingan 16 terbaik di Allianz Arena.
Pertembungan yang boleh diibaratkan sebagai perlawanan akhir ini berlangsung dengan menarik apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan menurunkan kesebelasan terkuat mereka.
Pertahanan Bayern Munich, Jerome Boateng meletakkan tuan rumah dihadapan pada minit ke-12.
Beliau yang tidak dikawal pertahanan Dortmund berjaya menanduk masuk bola susulan tandukan dilakukan Niklas Sule yang hanya singgah di palang gol berpunca dari sepakan percuma James Rodriguez.
Bayern yang mendominasi babak pertama perlawanan melebarkan kedudukan pada minit ke-40 menerusi ketua pasukan, Thomas Muller.
Muller yang mendapat lorongan cantik dari Robert Lewandowski berjaya memperdayakan penjaga gol Dortmund, Roman Burki dengan satu sepakan ‘lob’ menarik menewaskan penjaga gol kelahiran Switzerland itu.
Jaringan tersebut menutup babak pertama dengan kedudukan 2-0 memihak buat Bayern Munich.
Bayern berpeluang menambah satu lagi jaringan sebaik sahaja bermula aksi separuh masa kedua akibat kesilapan dari Burki yang melakukan sepakan kearah Franck Ribery.
Ribery lebih pantas menyambar bola tersebut melakukan hantaran kepada James Rodriguez yang seterusnya melepaskan rembatan ke arah gol, bagaimanapun Burki lebih tangkas menghalang percubaan itu bagi menebus kesilapan dilakukannya.
Jaringan yang ditunggu-tunggu Dortmund akhirnya menjelma pada minit ke-76 menerusi Andriy Yarmolenko setelah beliau berjaya menanduk masuk hantaran lintang yang dilakukan oleh Shinji Kagawa bagi merapatkan kedudukan.
Jaringan tunggal dari pemain antarabangsa Ukraine itu belum cukup untuk menghalang kemaraan Bayern Munich ke aksi suku akhir. Kekalahan ini bermakna Dortmund gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada musim lalu.
Sementara itu dalam perkembangan yang lain di saingan DFB Pokal, Werder Bremen bersama-sama Bayer Leverkusen dan Eintracht Frankfurt turut mengiringi Bayern Munich bagi terus merebut kejuaraan.