Sejumlah 9 perlawanan telah berlangsung pada minggu ke-17 yang turut merupakan minggu penutup kepada saingan pusingan pertama bBundesliga untuk musim 2017-18.
Sebanyak 36 gol berjaya direkodkan sepanjang minggu ini yang turut menyaksikan beberapa perlawanan merekodkan keputusan di luar jangkaan. Berikut adalah beberapa perlawanan tumpuan yang ingin kami kongsikan.
VFB Stuttgart (0) vs Bayern Munich (1)
Perlawanan minggu ke-17 dimulakan dengan aksi membabitkan pendahulu liga, Bayern Munich yang bertemu Stuttgart di arena lawan. Kemenangan berpihak kepada Bayern menerusi jaringan tunggal Thomas Muller pada minit ke-79.
Pasukan pelawat hampir berputih mata apabila Stuttgart dihadiahkan sepakan penalti tatkala perlawanan menuju wisel penamat. Mujurlah sepakan penalti Chadrac Akolo itu diselamatkan Sven Ulreich sekaligus meletakkan Bayern unggul mendahului dengan 11 mata di hadapan.
Borussia Dortmund (2) vs Hoffenheim (1)
Sementara itu di Signal Iduna Park, Borussia Dortmund berjaya meneruskan rentak kemenangan di bawah kendalian Peter Stoger. Kali ini skuad BVB menjadikan Hoffenheim sebagai mangsa terbaru.
Kemenangan kedua di bawah pengendali baru, Peter Stoger melonjakkan kedudukan BVB ke tangga ketiga liga setakat ini.
Walaubagaimanapun, skuad tuan rumah dikejutkan dengan gol pendahuluan Mark Uth pada minit ke-21 perlawanan, sebelum kedudukan disamakan oleh Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-61 menerusi sepakan penalti.
Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan dengan keputusan 1-1, pemain muda kelahiran Amerika Syarikat, Christian Pulisic menceriakan penyokong tuan rumah menerusi jaringan kemenangan pada minit ke-89 perlawanan.
Hannover (4) vs Bayer Leverkusen (4)
Satu lagi perlawanan yang mencuri tumpuan adalah membabitkan pertemuan di antara Hannover dan Bayer Leverkusen. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan seri 4-4. Kedua-dua pasukan masing-masing berada di hadapan dengan terlebih dahulu dilakukan oleh Julian Brandt pada minit ke 11 untuk skuad pelawat.
Namun, kelebihan jaringan itu tidak bertahan lama apabila dibalas oleh Hannover pada minit ke 12 menerusi jaringan yang dilakukan oleh Ihlas Bebou. Terikat 1-1, kali ini giliran tuan rumah pula mendahului menerusi gol sepakan penalti Niclas Fullkrug pada minit ke 21.
Bagaikan mengulangi skrip di awal permainan tadi, Admir Mehmedi membalas kelebihan Hannover apabila meledak gol kedua Leverkusen berselang hnaya 4 minit selepas ketinggalan. Namun begitu, tuan rumah menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan selepas mendahului pada minit ke 45 hasil jaringan Felix Klaus.
Bersambung babak kedua perlawanan, bermulalah babak menarik membabitkan pemain gantian Leverkusen, Leon Bailey yang masuk pada separuh masa kedua menggantikan Sven Bender.
Sejurus dimasukkan, beliau cepat membawa impak kepada permainan menerusi 2 gol yang dihasilkannya pada minit ke 47 dan 67.
Beliau sepatutnya mampu mencipta ‘hat-trick’ dan berpeluang membawa pulang 3 mata, namun percubaannya di dalam kotak penalti sedikit tersasar.
Menuju 10 minit terakhir, tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Julian Korb menjadikan perlawanan berkesudahan seri 4-4.
RB Leipzig (2) vs Hertha Berlin (3)
Perlawanan terakhir minggu ke 17 melibatkan aksi RB Leipzig dan Hertha Berlin yang berlangsung semalam adalah paling mencuri tumpuan.
Skuad pelawat berjaya melakar kemenangan 3-2 di Red Bull Arena meskipun terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Jordan Torunarigha diperintah keluar padang seawal minit ke 7.
Bekas pemain RB Leipzig musim lalu jelas menjadi duri dalam daging selepas menjaringkan 2 gol dan satu lagi gol dijaringakan oleh Salomon Kalou pada separuh masa pertama.
Tuan rumah cuba bangkit selepas ketinggalan 0-3, usaha mereka sedikit terhasil selepas Will Orban berjaya mencipta gol kebangkitan. Namun, gol kedua tiba agak lewat sekaligus mematikan misi mereka untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata.
Meskipun kemenangan tipis, ia sudah cukup mengembirakan pengendali Berlin, Pal Dardai yang turut merekodkan perlawanan ke 100 di Bundesliga.
Dalam pada itu, FC Koln akhirnya berjaya mencipta kemenangan pertama selepas membenam Wolfsburg 1-0 di laman sendiri. Kemenangan itu sedikit melegakan sebelum memulakan pusingan kedua, namun kelab berkenaan masih kekal terperosok di dasar liga dengan hanya mengutip 6 mata.
Lain-lain perlawanan:
Borussia Monchengladbach (3) vs (1) Hamburger SV
Eintracht Frankfurt (2) vs Schalke 04 (2)
FC Augsburg (3) vs (3) SC Freiburg
Werder Bremen (2) vs (2) Mainz 05
FC Koln (1) vs Wolfsburg (0)
Rumusan
Selepas menempuh separuh daripada musim di Bundesliga, Bayern Munich terus unggul mendahului dengan kelebihan 11 mata.
Prestasi kelab Bavarian tersebut mulai memuncak sejak diambil alih oleh Jupp Heynckes. Mampukah Schalke atau Dortmund menafikan dominasi Bayern Munich musim ini?