Media British melaporkan pihak pengurusan Manchester City akan mengadakan perbincangan bersama pengurus pasukan, Pep Guardiola mengenai kontrak lanjutan selama 3 tahun pada akhir musim ini.
Agenda utama penilaian tahunan yang secara tradisinya diketuai oleh pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak dan CEO, Ferran Sorriano pada bulan Mei ini mungkin akan menjadikan topik berkenaan sebagai agenda utama.
Menurut Sky Sports yang memetik sumber rapat pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, pihak pengurusan City sangat berpuas hati dengan prestasi Pep Guardiola ketika membimbing pasukan dan yakin dapat terus mengikat Guardiola bersama kelab itu.
City kini mempunyai kelebihan 11 mata di puncak liga selepas melebarkan rekod kemenangan kepada 16 perlawanan berturut-turut dengan meraih kemenangan 4-1 ke atas Tottenham Hotspur, Sabtu lalu.
Guardiola kini berada di pertengahan kontraknya yang berharga melebihi £20 juta (RM108 juta) setahun, lapor The Daily Telegraph.
Guardiola gagal meraih sebarang trofi pada musim pertamanya selaku pengurus di kelab itu tahun lalu tetapi kini pasukan berkenaan menjadi pilihan terbaik untuk menjuarai kempen kali ini.
Skuad kendaliannya turut dijadual berkunjung ke Leicester City untuk suku akhir Piala Liga, awal pagi Rabu dan berdepan kelab Switzerland, FC Basel dalam saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara pada Februari.
Guardiola mengambil tempoh rehat setahun selepas empat tahun mengendali pasukan Barcelona, kelab di mana dia menggambarkan tekanan politik seperti ‘berada di dalam ketuhar’.
Dia kemudiannya menyertai Bayern Munich selama tiga tahun sebelum menyertai City.