Analisis Taktikal: Terengganu 0-1 JDT

JDT menewaskan Terengganu hasil jaringan tunggal Luciano Figueroa dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang kosong. JDT mendominasi sebahagian besar perlawanan tetapi gagal menembusi gawang Terengganu sebelum Figueroa menanduk masuk sepakan sudut Safiq Rahim.

Kesebelasan utama

Terengganu terpaksa membuat beberapa pertukaran selepas 3 pemain import mereka tidak dapat diturunkan. Paulo Rangel dan Gustavo Lopez digantung perlawanan manakala Issey Nakajima-Farran masih belum pulih dari kecederaan.

Ini bermakna Norshahrul Idlan Talaha dan Ashari Samsudin berpasangan di bahagian serangan. Nasril Izzat dan Fakhrurazi Musa pula bermain di bahagian sayap dalam formasi 4-4-2.

Terengganu vs JDT - Football tactics and formations

 
Bagi JDT, kecederaan S. Kunanlan ketika mewakili skuad kebangsaan menentang Palestin bermakna Aidil Zafuan mendapat peluang bermain kesebelasan utama. Safee Sali berpasangan dengan Luciano Figueroa di bahagian serangan dalam formasi 4-4-2 juga.

Pelan ‘serangan’ Terengganu

Bermain di halaman yang kosong dan dua pemain ayam tambatan import yang digantung (sebagai denda FAM atas insiden selepas perlawanan separuh akhir Piala FA 2015) Terengganu nyata lebih berhati-hati dalam serangan. Mereka bergantung kepada serangan balas (counter attack) untuk menyerang.

Mentaliti defensif Terengganu nyata terserlah apabila hanya 4 pemain (2 penyerang dan 2 pemain sayap) yang aktif ketika mereka menyerang.

Dari awal minit perlawanan, Terengganu jelas lebih selesa menyerap asakan JDT sebelum melancarkan serangan balas melalui hantaran panjang Vincent Bikana. Selalunya hantaran panjang Bikana akan mencari Ashari Samsudin yang kerap membuat larian tanpa bola (off the ball run) ke ruang belakang Aidil Zafuan.

Buat seketika pada separuh masa pertama, strategi ini menjadi. Larian dan skil Ashari menarik Marcos Antonio keluar dari posisinya. Ini sekaligus memberi ruang 1v1 antara Norshahrul dengan Fadhli Shas.

Selain itu, taktikal ini juga menghasilkan 4 sepakan sudut dalam 10 minit pertama perlawanan sekalipun Terengganu menyerang dengan hanya 4 pemain.

Penguasaan bola JDT

Berbeza dengan Terengganu, JDT lebih bersabar (patient) ketika menyerang.

Dengan Hariss Harun berfungsi sebagai volante (pemain tengah defensif), Safiq Rahim bebas merancang serangan. Beliau kerap turun bawah untuk mengutip bola, bertukar-tukar hantaran dengan penyerang dan membuat larian lewat ke kotak penalti untuk menyambar peluang yang gagal disudahi penyerang.

Luciano Figueroa pula berfungsi sebagai penyerang kedua, bermain di belakang Safee Sali. Beliau kerap dilihat turun ke zon tengah untuk menghubungkan jentera serangan dengan jentera tengah melalui hantaran pendek. Setiap kali mendapat bola di kawasan tengah, beliau kerap memberikannya semula kepada Patito Rodriguez di sayap kiri.

Taktikal JDT lebih sistematik dan tersusun tetapi menentang pertahanan Terengganu yang kental bertahan, serangan mereka kerap kali dipatahkan. Sama ada oleh pemain pertahanan atau penjaga gol mereka yang cemerlang seperti percubaan Safee Sali ini.

tranungjdt1-compressed

Perhatian istimewa kepada Patito

Satu perkara yang menarik apabila anda menonton perlawanan di stadium kosong adalah anda dapat mendengar arahan taktikal pasukan dengan jelas.

Bagi Terengganu, antara yang paling jelas adalah arahan taktikal dari jurulatih mereka setiap kali bola sampai di kaki Patito. Dua perkataan yang selalu kami dengar ketika bola sampai ke kaki Patito adalah ‘tutup’ (closing down) dan ‘cover’ (Bikana sebagai covering defender untuk membantu bek kanan, Helmi Remeli untuk mengekang Patito).

Secara keseluruhannya Helmi Remeli boleh berpuas hati dengan persembahannya semalam. Patito langsung tidak bebas di sayap kiri. Apabila pemain sayap Argentina ini cuba mencari ruang di tengah, beliau kerap kali dihentikan melalui kekasaran adil.

Separuh masa kedua

Terengganu kelihatan mengubah pelan serangan mereka pada separuh masa kedua. Jika pada separuh masa pertama mereka mengharapkan hantaran jauh Bikana kepada Ashari, pada separuh masa kedua mereka lebih bersabar (patient) ketika menyerang.

Norshahrul kerap turun mengutip bola di kawasan tengah untuk menghubungkan jentera serangan dengan jentera tengah melalui hantaran pendek. Malangnya, kedua-dua pemain sayap Terengganu (Fakhrurazi dan Nasril) tidak mampu menewaskan bek kanan dan kiri JDT dalam situasi 1v1.

Akhirnya Terengganu terpaksa beralih ke hantaran panjang ke Ashari semula.

Bagi JDT pula, mereka hilang kelajuan (urgency) serangan mereka sebagaimana di separuh masa pertama. Puncanya kerana Figueroa yang dikawal ketat pasangan double pivot Terengganu, Nordin dan Shahrin. Manakala Patito pula ‘dirantai’ oleh Helmi Remeli.

Apabila kedua-dua pemain ini dikawal ketat, Safiq yang kerap turun untuk mengutip bola tidak mempunyai sesiapa untuk diberikan hantaran. Bola banyak berlegar di tengah padang antara Safiq, Shakir Shaari (yang masuk menggantikan Hariss Harun yang cedera) dengan pertahanan tengah mereka, Marcos Antonio dan Fadhli Shas.

Dalam situasi ini (kehilangan urgency dalam serangan), kehadiran seorang pemain yang mahir menggelecek amatlah diperlukan. Di JDT, hanya Jorge Pereyra Diaz yang mempunyai kualiti ini. Agak sayang nama beliau tidak dapat didaftarkan dalam skuad Liga Super mereka.

Terengganu sia-siakan set-piece

Apabila pasukan anda mempunyai 13 sepakan sudut dan tidak menjaringkan gol, anda boleh salahkannya kepada kualiti pertahanan lawan.

Tetapi apabila anda mempunyai 13 sepakan sudut dan tiada satunya menemui kepala pemain paling tinggi pasukan anda, itu adalah petanda pasukan anda langsung tidak membuat latihan menyerang sepakan sudut. Dan kami rasa inilah yang berlaku kepada Terengganu.

Daripada 13 sepakan sudut mereka, tiada satu pun yang menuju ke arah larian Vincent Bikana. Malah Bikana sendiri kelihatan seperti ayam kehilangan kepala ketika Terengganu mengambil sepakan sudut.

Sebaliknya kelebihan inilah yang dimanfaatkan JDT. Ketika mereka nampak buntu untuk menjaringkan gol dalam perlawanan terbuka, mereka mempunyai organisasi ketika menyerang sepakan sudut – sekalipun hanya meletakkan 4 pemain untuk menyerang sepakan sudut tersebut.

Berpunca dari kesilapan Hasmizan yang terlepas larian Figueroa ke near post, JDT berjaya memperolehi gol untuk membawa 3 mata penuh.

tranungjdt-compressed

Kesimpulan

Selepas 3 seri dan 2 kekalahan, ini adalah kemenangan pertama JDT di luar Larkin dalam aksi Liga Super. 2 hari akan datang, mereka akan menjadi tuan rumah kepada Terengganu pula. Untuk rekod, JDT belum pernah kalah lagi dalam aksi Liga Super di halaman sendiri.

Bagi Terengganu pula, kekalahan ini bertambah perit dengan kehilangan Paulo Rangel selama 6 bulan (minimum 3 bulan jika berkelakuan baik) kerana digantung perlawanan. Kini di tangga ke-8 liga, Terengganu perlu bangkit segera sebelum cakap-cakap penyingkiran liga mula membabitkan nama Terengganu.

Baca juga: Pemain Import Kedah Ini Melakukan Apa Yang Pengadil Tak Mampu

 

Sumber: TV3, Terengganu FA Official Facebook, Johor Southern Tigers

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN