Pengurus Arsenal, Arsene Wenger yakin bahawa tonggak tengah dari Jerman, Mesut Ozil akan terus kekal bersama Arsenal walaupun pemain tersebut masih belum memperbaharui kontraknya yang akan tamat pada penghujung musim ini.
Ozil yang menghasilkan jaringan tunggal bagi menyaksikan Arsenal berjaya menumpaskan Newcastle United 1-0 pada Sabtu lalu bersama-sama Alexis Sanchez masih berteka-teki mengenai masa depan mereka di Stadium Emirates.
Pemain berusia 29 tahun itu dikhabarkan telah menarik minat Jose Mourinho untuk membawanya ke Old Trafford, namun Wenger mengesahkan masih tiada lagi urusan rasmi dilakukan United bagi mendapatkan khidmat Ozil.
Perancang tengah itu dikritik hebat pada permulaan musim tetapi kemudiannya kembali mempertingkatkan prestasinya bagi membantu bahagian serangan Arsenal dalam mencari jaringan.
”Saya percaya dia akan kekal dan tidak perlu diyakinkan untuk menandatangani kontrak” kata Wenger. ”Saya tidak mahu membandingkan antara Mesut Ozil dan Alexis Sanchez. Anda tidak mahukan sesiapa pun meninggalkan pasukan. Itu adalah pendirian kami tetapi pada situasi ketika ini ianya sangat sukar untuk diperkatakan.”
”Sehingga ke akhir musim ini, kita pasti mereka akan kekal. Tetapi apabila kontrak mereka tamat pada hujung musim, saya tidak akan dapat memberi anda sebarang kepastian.”
Ketika ditanya mengenai prestasi baiknya ketika ini sejak menyertai Arsenal pada tahun 2013, Wenger berkata kepada wartawan: ”Ya. Saya fikir dia (Mesut Ozil) telah mengambil tanggungjawabnya dan ini adalah apa yang anda mahukan daripada dia.”
”Dia seorang pemain yang matang dan membimbing pasukan. Mereka sedar dia banyak bersama bola. Kebiasaannya degupan jantung anda menurun ketika dia mempunyai bola.”
Mesut Ozil telah mencatatkan 3 jaringan serta turut menghasilkan 5 bantuan jaringan (assist) dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini.