Kuasa besar bola sepak Scotland, Celtic terpaksa menelan kepahitan apabila rekod tanpa kalah selama 69 perlawanan kelab tersebut dalam saingan domestik akhirnya dicalarkan Hearts di gelanggang lawan pada perlawanan liga yang berlangsung malam tadi.
Kekalahan 4-0 tersebut juga merupakan kekalahan pertama yang dialami pengurus, Brendan Rodgers dalam saingan domestik sejak menyandang jawatan pengurus pasukan pada tahun 2016.
Pengurus berusia 44 tahun dari Ireland Utara itu memberikan kredit diatas semangat juang dan persembahan yang ditampilkan pasukan tuan rumah serta turut memuji anak buahnya disebalik keputusan yang mengecewakan tersebut.
Bercakap kepada Sky Sports 2, Rodgers berkata: ”Kredit harus diberikan kepada Hearts, mereka pasukan yang baik dan mempunyai fizikal yang lebih baik berbanding kami pada babak pertama dan mereka benar-benar layak untuk menang. Tahniah kepada Hearts diatas kejayaan ini.”
”Tetapi saya juga mengucapkan tahniah kepada para pemain saya. Ini (rekod tanpa kalah) merupakan satu pencapaian yang luar biasa buat pasukan. Ianya membuktikan tahap profesional dan kualiti yang dimiliki mereka.”
”Mereka telah melalui 69 perlawanan dan ini merupakan kekalahan pertama. Sudah pastinya ianya merupakan suatu yang menyakitkan apabila anda ditewaskan seperti ini tetapi anda perlu kekal fokus. Mereka (para pemain) begitu menakjubkan 18 bulan ini.”
”Kami tidak begitu baik hari ini (semalam), kami membuat begitu banyak kesilapan untuk memperoleh kemenangan tetapi saya tetap berbangga dengan para pemain. Kami akan menekan butang ‘reset’, menganalisis perlawanan dan cuba untuk menang pada pertengahan minggu ini (berdepan Patrick Thistle di laman sendiri).”
Pada perlawanan bertemu Hearts di Tynecastle Park, Celtic dikejutkan dengan dua jaringan di babak pertama menerusi pemain berusia 16 tahun, Harry Cochrane dan Kyle Lafferty. Manuel David Milinkovic menambah dua jaringan pada separuh masa kedua untuk melengkapkan malam gemilang buat pasukan yang kini berada di tangga ke-5 Liga Perdana Scotland itu.