Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menafikan spekulasi pemain tengah RB Leipzig, Naby Keita akan berpindah ke Anfield pada Januari ini, dan bukan pada jendela perpindahan musim panas seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua kelab sebelum ini.
Keita akan menyertai Liverpool selepas RB Leipzig bersetuju dengan nilai perpindahan £48 juta yang ditawarkan oleh kelab Merseyside tersebut. Namun kegagalan Leipzig untuk mara ke peringkat kalah mati di pertandingan UEFA Champions League (UCL), menimbulkan persoalan baru.
Namun demikian, Klopp menegaskan bahawa pemain antarabangsa Guinea ini tidak akan mendahului jadual perpindahan yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Kedua-dua kelab telah bersetuju Keita akan ke Liverpool pada Jun atau Juai hadapan. Oleh itu, tidak ada perkara lain yang boleh diperkatakan mengenai Keita buat masa ini.
“Kami tidak memikirkan kemungkinan untuk Keita tiba di Anfield lebih awal. Ini kerana apa yang telah dijelaskan oleh pihak Leipzig sebelum ini. Mereka berkata mereka tidak perlu untuk melepaskan mana-mana pemain.”
“Jadi mengapa tiba-tiba Leipzig akan membenarkan Keita pergi awal dari sepatutnya? Tidak. Kami langsung tidak memikirkan kemungkinan itu.”
Klopp turut mengesahkan bahawa beliau tidak berhubung dengan Keita sepanjang musim ini kerana status pemain tersebut yang masih lagi bergelar pemain RB Leipzig secara kontrak.
Pemain tengah tersebut telah dilayangkan 2 kad merah bersama RB Leipzig pada musim ini. Namun Keita turut telah menjaringkan 5 gol daripada 19 perlawanan bersama kelab Red Bull itu.
RB Leipzig menarik perhatian ramai pada musim lalu apabila berjaya menduduki tangga kedua liga pada musim pertama mereka beraksi di Bundesliga. Selepas 16 perlawanan Bundesliga pada musim ini, Leipzig berada di kedudukan ketiga, 10 mata di belakang pendahulu Bayern Munich.