Badan pengendali Liga, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) hari ini mengesahkan juara Liga Super 2017, JDT sekali lagi akan berentap dengan juara Piala FA 2017, Kedah dalam perebutan piala sumbangsih musim 2018.
Menurut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia, Manual Liga Malaysia 2017, pasukan yang layak ke Perlawanan Piala Sumbangsih adalah mengikut susunan berikut :
i. Johan Liga Super musim sebelumnya akan melawan Johan Piala Malaysia musim sebelumnya, atau;
ii. Johan Liga Super musim sebelumnya akan melawan Johan Piala FA musim sebelumnya, atau;
iii. Johan Liga Super musim sebelumnya akan melawan Naib Johan Piala Malaysia musim sebelumnya, atau;
iv. Johan Liga Super musim sebelumnya akan melawan Naib Johan Liga Super musim sebelumnya, atau pasukan yang diputuskan oleh Unit Pertandingan FMLLP.
Memandangkan Johan Liga Super 2017 dan Johan Piala Malaysia 2017 adalah Johor Darul Ta’zim (JDT). Maka perkara (ii) akan terpakai dengan Johan Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menentang Johan Piala FA 2017 iaitu pasukan Kedah.
FMLLP juga turut mengesahkan venue dan tarikh perlawanan akan dimaklumkan kemudian.
Bulan lalu, kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 yang menyaksikan JDT berjaya menjadi juara buat kali pertama dalam sejarah kelab mereka selepas menewaskan Kedah dengan jaringan 2-0.
Lebih manis lagi, ini merupakan pengalaman kali pertama buat ketua pasukan JDT, Safiq Rahim memeluk piala paling berprestij itu dan sekaligus melengkapi koleksi trofi beliau dan sudah pasti kekecewaan pada final 2014 yang lalu apabila tewas menentang pasukan Pahang melalui sepakan penalti sudah pun terubat.