Bekas bintang AC Milan, Barcelona dan Brazil, Ronaldinho akan menceburkan diri ke dalam bidang politik di Brazil seawal tahun hadapan.
Sepanjang karier profesional bola sepaknya, pemain yang dianggap sebagai salah seorang pemain dengan bakat istimewa di dunia, turut pernah beraksi untuk Fluminense, Querétaro, Atlético Mineiro dan juga Flamengo di Brazil.
Namun Ronaldinho paling dikenang ketika berada di Nou Camp bersama Barcelona selama 5 musim yang turut menyaksikan beliau meraih anugerah Ballon d’Or pada 2005.
Sepanjang bersama gergasi Catalan tersebut, Ronaldinho telah tampil dalam 170 perlawanan dan menjaringkan 70 gol, sebelum turut beraksi dalam 76 perlawanan untuk Rossoneri dan menghasilkan 20 gol di Itali.
Sebuah akhbar di Brazil, O Globo mendedahkan baru-baru ini bahawa Ronaldinho akan bertanding di dalam satu pilihanraya untuk jawatan senat, mewakili Parti Patriota di sebuah wilayah yang dikenali sebagai Minas Gerais di Brazil.
Parti Patriota adalah sebuah parti politik milik calon yang bertanding untuk pilihanraya presiden, Jair Bolsonaro yang merupakan seorang ahli politik yang memiliki karakter penuh kontroversi di negara Amerika Selatan itu.
Bolsonaro sering dikecam kerana memiliki pandangan terhadap perkahwinan sejenis, hukuman bunuh, dan polisi ketenteraan yang bertentangan dengan norma masyarakat dan rakyat Brazil.
Baru-baru ini, Bolsonaro turut menyamakan dirinya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan dikritik hebat di Brazil selepas memberi komen yang jelik mengenai wanita dan hubungan sejenis.
Bekas bintang Barcelona itu dikatakan sedang menunggu untuk Bolsonaro mengumumkan secara rasmi mengenai percalonan untuk jawatan senat.
Walaupun pilihanraya tersebut hanya akan diadakan seawal Mac 2018, foto Ronaldinho bersama ahli politik itu dengan buku biografinya sudah mulai tersebar.
Bekas pemain profesional bola sepak beralih untuk menyertai politik bukanlah senario yang baru. Seorang lagi legenda Brazil, Romario ialah seorang senator. Manakala seorang lagi bekas pemain AC Milan, George Weah sedang bertanding di dalam pilihanraya untuk menjadi Presiden Republik Liberia.