Jose Mourinho memberikan bayangan penyerang veteran yang baru pulih dari kecederaan, Zlatan Ibrahimovic akan diturunkan sebagai kesebelasan utama ketika Manchester United menanti kunjungan musuh setempat, Manchester City di Old Trafford.
Manchester United mencipta kemenangan moral bertemu Arsenal 3-1 pada hujung minggu lalu dalam usaha mengurangkan jurang mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu yang kini berkelebihan 8 mata.
Pada perlawanan di Stadium Emirates bertemu Arsenal, Mourinho langsung tidak menyenaraikan pemain dari Sweden itu tatkala beliau masih lagi bergelut dengan kecederaan lutut yang dialaminya pada musim lalu tersebut.
Menurut Mourinho, Zlatan Ibrahimovic turut akan terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah berdepan wakil dari Russia, CSKA Moscow pagi esok tetapi pengendali dari Portugal itu membayangkan penyerang berusia 36 tahun itu akan dapat kembali beraksi pada pertembungan derbi Manchester pada hujung minggu ini.
”Zlatan (Ibrahimovic) tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Mourinho dalam satu temubual disiarkan Goal.
”Dia kadangkala memerlukan sedikit kerja keras pada bahagian otot yang menyokong bahagian lututnya yang mengalami masalah.”
”Ketika tiba masa dia perlu bekerja keras, dia akan mengalami keletihan. Untuk bekerja keras pada masa-masa tertentu, dia tidak dapat beraksi pada perlawanan, jadi kami memilih untuk melakukannya selepas perlawanan bertemu Watford minggu lalu.”
”Dia berada di kitaran itu ketika ini, dibahagikan diantara latihan di gimnasium dan padang. Dia akan diketepikan pada perlawanan esok (Selasa) tetapi akan bekerja dengan normal selepas perlawanan bertemu CSKA Moscow.”
Ibrahimovic telah membuat penampilan semula bertemu Newcastle United selepas berehat panjang akibat kecederaan lutut yang dialaminya pada musim lalu. Beliau kemudiannya dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang FC Basel, Brighton dan Watford.
Zlatan Ibrahimovic masih belum beraksi penuh 90 minit ketika ini. Adakah pertemuan menentang Manchster City adalah aksi penuh pertama beliau selepas mengalami kecederaan? Sama-sama kita nantikan pada hujung minggu ini.