Dalam satu muat naik penyerang sensasi Felda United di instagram semalam, beliau telah memberitahu yang beliau mahu bermain untuk mewakili pasukan Malaysia.
Beliau dengan ringkas bertanya, boleh tak? Thiago Augusto kemudian meletakkan hastag yang menyatakan rasa hormat dan sayang beliau kepada negara Malaysia.
Thiago Augusto sudah lama berkarier di Malaysia. Beliau mulai menjejakkan kaki ke Malaysia dan bermain di sini pada 2015 dengan menyertai Felda United.
Beliau juga pernah bermain untuk Kedah secara pinjaman pada musim 2016. Thiago selepas itu menyertai Manama di Bahrain.
Tetapi pada jendela perpindahan pertengahan musim 2017, beliau dibawa masuk oleh B. Sathianathan ke Felda United sekali lagi dan cemerlang membantu kelab tersebut keluar daripada kelompok bawahan liga.
Thiago Augusto menjadi nadi penting Felda United untuk menamatkan saingan liga di tangga ke-3 di belakang pasukan Pahang.
Pemain yang berasal dari ini baru berusia 27 tahun. Beliau adalah penyerang ‘target man’ yang sangat digeruni di dalam liga bola sepak Malaysia.
Beliau pernah mewakili Brazil untuk peringkat B-19 tahun. Dengan kebanyakan karier beliau adalah di Malaysia, mungkin itulah sebabnya pemain ini ada satu perasaan yang sentimental mahu berbakti membantu skuad kebangsaan Malaysia.
Hasrat Thiago Augusto Fernandez ini mungkin sukar untuk direalisasikan kerana buat masa ini ramai pihak dalam pengurusan sukan berkaitan bola sepak masih belum terfikir untuk menggunakan pemain naturalisasi.
Malaysia lebih pro-aktif dalam mencari bakat pemain kacukan. Tetapi rata-rata ramai peminat Harimau Malaya menghargai hasrat Thiago Augusto ini yang ternyata sudah menganggap Malaysia sebagai negara yang beliau hormati dan sayangi.