Desas desus mengenai status bekas jurulatih Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria akhirnya terlerai selepas beliau dilihat hadir bersama-sama pasukan PDRM dalam sesi latihan semalam.
Menurut laporan dari laman facebook ‘kelab penyokong bola sepak PDRM’, beliau telah mula turun padang bersama-sama barisan kejurulatihan yang lain seperti Fauzi Pilus, Mubin Mokhtar dan Khalid Jamlus.
Beliau yang ketika dihubungi oleh Semuanya Bola nyata bersyukur dan gembira atas perlantikan sebagai Ketua Jurulatih PDRM FA bagi musim 2018.
“Alhamdullillah, perpindahan ini adalah tepat pada masanya dan ada pasukan di sini yang masih percaya dengan idea dan falsafah bola sepak yang cuba saya terapkan sebelum ini,” ujarnya ketika dihubungi sebentar tadi.
Harapan beliau untuk musim 2018 ini ialah agar beliau dapat mencapai kejayaan bersama PDRM setelah terpaksa melupakan niat tersebut sebelum ini ekoran dari beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
Dalam pada itu, memetik sumber dari Berita Harian, Zulhamizan menjelaskan beberapa bekas pemainnya ketika bersama Kuantan FA akan turut bersama PDRM musim depan.
Selain itu, beliau turut mengakui sedang menilai beberapa pemain import untuk memperkuatkan pasukan menjelang saingan liga yang semakin mencabar musim hadapan.
Wira pasukan Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1992 ini memulakan tugas sebagai jurulatih Kuantan FA pada pertengahan musim 2015 selepas pengendali asal, Aminuddin Husin “direhatkan” dan diganti oleh Syukri Ismail.
Pilihan pihak pengurusan Kuantan FA ternyata tepat apabila skuad ‘The Seagulls’ di bawah bimbingan Zulhamizan, berjaya mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Perdana untuk musim 2016 dan 2017.
Pada musim 2017, Kuantan FA menamatkan saingan Liga Perdana di tempat ke sembilan dan akan beraksi buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana tahun depan.
Selain pernah bersama Kuantan FA, beliau turut mengetuai skuad Pahang dalam kejohanan Piala Emas Raja-Raja bagi musim 2016 dan berjaya membawa Pahang muncul juara selepas menewaskan PDRM dengan jaringan 6-2.