Pemain Brazil yang kini beraksi bersama Atletico Mineiro, Robinho atau nama sebenarnya Robson De Souza telah dijatuhi hukuman penjara 9 tahun selepas pemain berusia 33 tahun itu didapati bersalah atas dakwaan merogol secara berkumpulan.
Robinho didakwa melakukan perbuatan keji tersebut secara berkumpulan bersama-sama lima orang suspek yang lain di Milan kira-kira 5 tahun yang lalu.
Menurut Berita Harian, Robinho didapati bersalah oleh mahkamah Itali kerana melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita Albania yang berusia 22 tahun sewaktu beliau beraksi bersama AC Milan.
Akhbar tempatan di Itali, Corriere della Sera melaporkan bahawa Robinho dan rakannya turut menyebabkan wanita itu mabuk dan tidak sedarkan diri hingga tidak mampu untuk menghalang segala perbuatan mereka itu.
Dalam perkembangan tersebut, Robinho mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan keatas dirinya dan beliau masih boleh membela diri di atas hukuman terbabit.
“Kami ingin menjelaskan dia sudah membela dirinya atas tuduhan itu, mengesahkan dia tidak terbabit,” kenyataan yang telah dimuat naik di akaun Instagram milik Robinho.
“Segala aspek undang-undang sedang dipertimbangkan.”
Sementara itu, lima lagi suspek yang juga merupakan rakan Robinho turut disabitkan dengan kesalahan yang sama namun hukuman yang dikenakan terhadap mereka masih belum dapat dipastikan lagi.
Robinho pada satu ketika disifatkan sebagai salah seorang pemain yang bakal menggegarkan dunia bola sepak.
Beliau yang pernah beraksi bersama Santos, Real Madrid, Manchester City dan beberapa kelab lagi bakal menghadapi saat yang begitu sukar dalam karier sekiranya hukuman tersebut dijalankan.