Wakil England, Arsenal mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Europa walaupun tewas 1-0 di tangan FC Cologne pada perlawanan kumpulan H yang berlangsung di RheinEnergieSTADION awal pagi tadi.
Kemaraan Arsenal ini dibantu oleh keputusan satu lagi perlawanan dalam kumpulan tersebut diantara BATE Borisov dan FK Crvena Zvezda yang hanya berkesudahan seri tanpa jaringan.
Selepas tamat lima perlawanan peringkat kumpulan, persaingan merebut satu lagi slot ke pusingan seterusnya masih terbuka buat FC Cologne, BATE Borisov dan FK Crvena Zvezda untuk mengiringi Arsenal.
Arsenal mendominasi perlawanan pada babak pertama dan mencipta beberapa peluang bagi mencipta jaringan namun skuad bimbingan Arsene Wenger itu terpaksa akur dengan kekebalan benteng terakhir FC Cologne yang dikawal Timo Horn.
Perlawanan yang begitu didominasi oleh Arsenal pada babak pertama itu ternyata begitu sukar buat Olivier Giroud dan rakan sepasukan untuk menghasilkan sebarang gol.
Pemain sayap muda dari Perancis, Sehrou Guirassy kemudiannya menjadi wira buat pasukan tuan rumah apabila jaringan sepakan penalti pada minit ke-62 sudah cukup untuk meletakkan FC Cologne berada di tempat kedua bagi kembali menghidupkan peluang untuk merebut slot ke pusingan seterusnya.
Pada perlawanan ini juga menyaksikan Arsene Wenger memberikan kepercayaan kepada tiga pemain mudanya apabila membariskan permata berusia 20 tahun, Ainsley Maitland-Niles di kesebelasan utama serta memasukkan Reiss Nelson (17 tahun) dan Edward Nketiah (18 tahun) pada babak kedua.
Walaupun tewas, 3 kemenangan 1 seri dan 1 kekalahan yang diraih selepas tamat lima perlawanan sudah cukup buat Arsenal untuk menamatkan saingan kumpulan H di tempat pertama dengan mengumpul 10 mata.