Visnu Ruban Nair: Mahu Jadi Seperti ‘Spiderman’, Impi Teruskan Legasi Ayah & Ibu

“Idola saya adalah ‘Spiderman’, mendiang Datuk R. Arumugam, antara penjaga gol terbaik di Malaysia,” jawapan ringkas penjaga gol baharu PJ Rangers FC, Visnu Ruban Nair mengenai idolanya dalam dunia bola sepak.

Nama yang masih belum dikenali ramai, Visnu adalah antara pemain baharu yang telah menyertai ‘revolusi’ PJ Rangers dalam misi memburu slot untuk layak ke Liga Perdana 2019.

Foto: Visnu Ruban Nair

Jika sebelum ini PJ Rangers telah menandatangani tiga pemain muda Sarawak iaitu Nur Shamie Iszuan, Tommy Mawat Bada dan Shreen Tambi, kini tiga lagi pemain turut menyertai kelab yang berpengkalan di Petaling Jaya itu.

Mereka terdiri daripada Farhan Abu Bakar, penyerang muda, Mohd Arif Anwar dan juga Visnu. Malah, PJ Rangers turut memaklumkan bahawa mereka telah melengkapkan senarai 25 pemain untuk saingan Liga FAM 2018.

Selain daripada itu, PJ Rangers turut memaklumkan yang skuad musim hadapan akan dikendalikan oleh bekas jurulatih Harimau Muda C, Hassan Sazali Waras dan dibarisi dengan pemain-pemain muda, purata umur 25 tahun.

Semuanya BOLA berkesempatan menghubungi Visnu Ruban Nair untuk bertanyakan mengenai dirinya dan perancangan masa depannya bersama kelab baharunya itu.

Dilahirkan dalam keluarga bola sepak membuatkan dirinya cukup meminati bidang ini. Ibunya adalah bekas penyerang skuad kebangsaan, sementara bapanya cukup sinonim dalam bola sepak negara, B. Sathianathan.

Gambar: Zam Zainal/Asiana

Visnu mula bermain bola sepak sejak dari kecil bermula dengan Arsenal Soccer Schools Malaysia dan sentiasa mendapat galakan dan dorongan daripada bapa dan juga bapa saudaranya.

Dan atas cadangan bapa saudaranya jugalah, dia telah bertukar posisi daripada pemain tengah kepada penjaga gol. Dan baginya, penjaga gol menjanjikan sesuatu yang berbeza.

“Pada mulanya saya bermain di bahagian tengah. Namun pada usia 11 tahun atas dorongan bapa saudara saya, saya mula bermain sebagai penjaga gol,” jelas Visnu yang kini berusia 23 tahun.

Foto: Visnu Ruban Nair

Visnu mula terlibat dengan serius dalam bola sepak dan menjadikan ianya satu kerjaya apabila terpilih untuk mewakili negeri Selangor dalam aksi Piala Belia 2012.

“Bapa tidak pernah melarang saya terlibat dalam bola sepak. Dan sebagai jurulatih yang dikenali di dalam negara, dia sentiasa menasihati saya supaya mencapai kejayaan atas usaha sendiri,” jelasnya lagi.

“Saya tidak memandang situasi itu sebagai satu beban, tetapi ia sesuatu yang positif,” ujar Visnu mengenai cabaran sebagai penerus legasi B. Sathianathan, sambil menyatakan ia cabaran untuk dirinya untuk buat yang lebih baik.

Bertanyakan kepadanya sebab memilih untuk menyertai PJ Rangers, selain daripada faktor ‘Hassan Sazali Waras’, dia turut menyatakan ianya adalah hasil daripada perbincangan bersama bapa dan bapa saudaranya.

Skuad Piala Belia Selangor 2012. Foto: Visnu Ruban Nair.

“Kami membuat keputusan bahawa PJ Rangers adalah kelab terbaik untuk membantu mengangkat karier saya ke tahap yang seterusnya pada musim hadapan,” ujar Visnu yang pernah beraksi bersama MOF FC dan Felcra FC.

Dijangka akan bersaing merebut posisi bersama Farhan Abu Bakar, nyata Visnu tidak gusar malah menganggap ini adalah peluang buat dirinya menimba ilmu daripada bekas penjaga gol Harimau Muda itu.

Antara Komen Penyokong Selangor mengenai Visnu. Foto: Visnu Ruban Nair.

“Farhan adalah penjaga gol yang baik dan berpengalaman. Saya sudah tidak sabar untuk belajar daripadanya serta bersaing untuk merebut posisi penjaga gol nombor 1 di PJ Rangers,” tekad Visnu mengenai pesaingnya Farhan.

Kami di Semuanya BOLA mengucapkan selamat maju jaya buat Visnu Ruban Nair bersama PJ Rangers! Teruskan legasi keluarga anda selaku pemain bola sepak yang berjaya.

Diharapkan ‘revolusi’ yang cuba dijelmakan oleh PJ Rangers ini akan berterusan sehingga pemain-pemain muda yang telah direkrut ini menginjak ke usia dewasa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN