JDT mengumumkan kepulangan semula bekas bintang sensasi mereka Jorge Pereyra Diaz ke kelab tersebut sebentar tadi.
Diaz sebelum ini meninggalkan JDT selepas JDT enggan melayan beberapa permintaan ‘manja’ beliau. Diaz menjadi pemain sensasi JDT pada musim 2016.
Beliau menjadi penjaring terbanyak JDT pada musim tersebut. Bergandingan sangat cemerlang bersama-sama dengan Juan Martin Lucero.
JDT terpaksa meminjamkan beliau keluar kerana tuntutan gaji dan beberapa pakej tambahan yang terlalu tinggi. Diaz dipinjamkan ke Independiente dan seterusnya ke Lanus.
Diaz kemudian mengkritik pengurusan JDT dalam beberapa muat naik status beliau. Namun dalam beberapa muat naik status beliau pada akhir musim 2017, Diaz kerapkali menunjukkan rasa rindunya kepada JDT.
Dan ia memberikan petanda beliau mahu kembali semula ke JDT. Mungkin Diaz merasakan dia lebih memerlukan bola sepak buat masa ini berbanding benda lain.
Musim hadapan Jorge Pereyra Diaz dijangka akan bergandingan dengan Luciano Figueroa di barisan hadapan.
Dalam masa yang sama, JDT mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada 2 penjaring terbanyak mereka musim ini iaitu Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera.
Guerra cemerlang membantu menyelesaikan krisis serangan JDT pada musim 2017. Sementara Gonzalo Cabrera adalah pemain yang memiliki kadar kerja yang sangat tinggi di dalam padang.
Beliau adalah pemain terbaik Final Piala Malaysia 2017 di mana JDT menjuarai kejuaraan tersebut. Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest
JDT melakukan rombakan yang agak besar dalam pasukan mereka kali ini berbanding dengan musim lalu. Sebelum ini mereka sudah mengesahkan penyertaan Adam Nor Azlin dan Syamel Kutty Abba ke dalam pasukan mereka.
Dan untuk Jorge Pereyra Diaz, selamat datang semula ke kancah liga Malaysia.