Pemain antarabangsa Brazil dan Chelsea, Willian mengakui bahawa beliau tidak memahami apa yang dilakukan oleh Chelsea apabila meminjamkan pemain muda meningkat naik, Ruben Loftus-Cheek ke Crystal Palace sehingga akhir musim ini.
Loftus-Cheek kini merupakan sandaran utama Roy Hodgson dalam usaha membawa pasukan tersebut keluar daripada kepompong zon penyingkiran dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Pemain tengah berusia 21 tahun itu kemudiannya mendapat kepercayaan pengurus England, Gareth Southgate setelah diturunkan sebagai kesebelasan utama pada dua perlawanan persahabatan bertemu Jerman dan Brazil baru-baru ini.
Willian menyifatkan Loftus-Cheek sebagai seorang pemain yang sangat berbakat besar dan beliau tidak memahami mengapa Chelsea membiarkan pemain tengah itu meninggalkan pasukan untuk dipinjamkan.
Ketika bercakap kepada Sky Sports, Willian ternyata begitu memuji kredibiliti yang dimiliki oleh Loftus-Cheek.
”Dia merupakan seorang pemain yang baik. Dia juga seorang pemain yang kuat, dia mempunyai kualiti dan mempunyai masa depan yang cerah.”
”Saya tidak tahu kenapa dia sekarang berada di Crystal Palace. Saya tidak tahu mengapa. Dia perlu kembali ke Stamford Bridge.”
Ruben Loftus-Cheek telah melakukan 7 penampilan dalam 11 perlawanan liga musim ini bersama Crystal Palace.
Sementara itu Willian yang menjaringkan 8 gol dalam membantu Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu beraksi dalam semua perlawanan dan 6 daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama.