Peru menjadi pasukan ke-32, juga yang terakhir untuk mengesahkan tiket ke pusingan akhir Piala Dunia yang akan berlangsung di Rusia pada musim panas tahun hadapan.
Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan play-off pertama di New Zealand, Peru jelas tidak mahu mensia-siakan kesempatan beraksi di laman sendiri.
Jefferson Farfan dan juga Christian Ramos menjadi wira rakyat Peru apabila kedua-dua pemain menjaringkan masing-masing 1 gol pada setiap babak perlawanan untuk memberikan kemenangan 2-0 ke atas New Zealand.
Peru adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan play-off kedua ini untuk mengesahkan aksi di Piala Dunia buat kali kelima dalam sejarah bola sepak Peru.
Kali terakhir mereka melayakkan diri ke kejohanan tersebut ialah pada 1982, walaupun berada di ranking ke-10 dunia.
Kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia kali ini turut diraikan secara besar-besaran oleh barisan pemain dan penyokong pasukan Peru.
Jalan-jalan utama di sekitar bandaraya Lima turut dipenuhi dengan rakyat Peru yang meraikan kejayaan pasukan bola sepak mereka dengan bunga api, paluan gendang dan juga sorakan.
Jefferson Farfan meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan selepas merembat kencang bola dari dalam kotak penalti lawan pada minit ke-28 perlawanan.
Di hadapan ribuan penyokong yang memenuhi stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut, Farfan meraikan gol pembukaan Peru dengan menutup kepalanya dengan jersi rakan sepasukan, Paolo Guerrero yang terlepas aksi selepas digantung September lalu akibat gagal ujian doping.
Christian Ramos kemudiannya menyambar peluang di hadapan gawang New Zealand untuk Peru selesa berada di hadapan pada kedudukan 2-0 pada minit ke-65 perlawanan.
New Zealand yang beraksi dalam perlawanan play-off ini dalam usaha mereka melayakkan diri ke Piala Dunia untuk kali ke-3 dalam sejarah bola sepak mereka hampir memperolehi gol sagu hati pada minit akhir perlawanan melalui percubaan Chris Wood, namun percubaan penyerang itu tersasar.
Pada awal pagi hari perlawanan, laporan dari Lima turut menyebut jet pejuang tentera udara Peru dan ledakan bunga api oleh penyokong Peru di luar hotel penginapan bertujuan untuk mengganggu konsentrasi skuad New Zealand.
Ini adalah taktikal luar biasa dari luar kawasan permainan. Berkesan atau tidak, Peru telah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2018!