Sebelum ini kami pernah menyiarkan sebuah artikel bertajuk ‘Rumusan Prestasi 5 Pemain England Yang Melakukan Debut Ketika Seri 0-0 Dengan Jerman’.
Secara keseluruhan, Gareth Southgate telah memberikan peluang kepada 11 pemain England untuk melakukan debut sepanjang 2017.
5 pemain iaitu Jordan Pickford, Joe Gomez, Ruben Loftus-Cheek, Tammy Abraham dan Jack Cork melakukan debut bersama England ketika mencatat keputusan seri 0-0 menentang Jerman pada Sabtu lalu.
Manakala 6 pemain lain turut dipilih oleh Southgate sepanjang pusingan kelayakkan Piala Dunia dan juga perlawanan persahabatan antarabangsa sepanjang tahun 2017.
Siapakah mereka?
1. Nathan Redmond (England vs Jerman, Dortmund; 22 Mac 2017)
Nathan Redmond adalah watak utama dalam pasukan kendalian Gareth Southgate bersama England B-21. Untuk skuad senior, Redmond tampil selama 25 minit ketika England tewas 1-0 kepada Jerman pada mac lalu.
Ia adalah malam yang membanggakan buat pemain sayap Southampton itu. Namun demikian Redmond melalui kemerosotan prestasi bersama Southampton di St. Mary’s di bawah kendalian Mauricio Pellegrino.
Walaupun tampil sebanyak 9 kali, termasuk 2 kali dari bangku pemain simpanan untuk Southampton sepanjang saingan EPL, ia belum cukup untuk meyakinkan Southgate untuk membuat panggilan kedua buat pemain berusia 23 tahun ini.
Sudah pasti persaingan untuk berada di dalam skuad ke Rusia semakin sengit di kem England. Untuk itu, Redmond harus membuktikan sesuatu bersama Southampton terlebih dahulu sebelum mengimpikan ke Piala Dunia pada musim panas tahun hadapan.
2. James Ward-Prowse (England vs Jerman, Dortmund; 22 Mac 2017)
James Ward-Prowse adalah pemain kedua yang melakukan penampilan pertama bersama England di Dortmund pada Mac lalu. Namun Ward-Prowse sukar memberikan impak dalam perlawanan persahabatan tersebut kerana hanya dimasukkan ketika saingan berbaki 8 minit.
Sepertimana Redmond, Ward-Prowse juga adalah tonggak utama kepada Southgate ketika bersama England B-21. Namun musim ini menyaksikan Ward-Prowse sukar mendapat tempat di dalam kesebelasan utama Mauricio Pellegrino di St.Mary’s.
Sepanjang saingan EPL pada musim ini, Ward-Prowse beraksi dalam 8 perlawanan. Namun pemain berusia 23 tahun ini hanya berada di dalam kesebelasan permulaan sebanyak 3 kali, dan tampil sebanyak 5 kali dari bangku pemain simpanan.
Selain daripada debut ketika menentang Jerman dalam perlawanan persahabatan pada Mac lalu, Ward-Prose adalah pemain simpanan yang tidak diturunkan ketika England mencatat kemenangan 2-0 ke atas Lithuania pada 26 Mac lalu.
Berdasarkan situasi semasa di Southampton, Ward-Prowse juga perlu melakukan sesuatu sepertimana Nathan Redmond jika mengimpikan untuk ke Piala Dunia bersama England pada tahun hadapan.
3. Harry Winks (England vs Lithuania, Vilnius; 8 Oktober 2017)
Harry Winks hanya melakukan 14 penampilan utama bersama Tottenham Hotspur sebelum dipanggil oleh Gareth Southgate untuk tampil buat pertama kali bersama Three Lions dalam kemenangan 1-0 ke atas Lithuania pada Oktober lalu.
Pemain ini mempunyai kebolehan teknikal yang bagus sepertimana yang diperagakan dalam perlawanan menentang Lithuania, dan antara perkara positif untuk masa depan bola sepak England.
Sejak debut bersama England, Winks tampil lebih yakin di peringkat kelab. Prestasinya bersama Tottenham ketika berhadapan dengan Real Madrid di saingan UEFA Champions League hanya menguatkan lagi andaian Winks akan berada di dalam senarai Southgate ke Rusia.
Buat masa ini pemain tengah berusia 21 tahun ini perlu mengekalkan prestasi beliau bersama Tottenham, serta mengelakkan diri daripada kecederaan untuk memungkinkan beliau ke Piala Dunia pada tahun hadapan.
4. Kieran Trippier (England vs Perancis, Paris; 13 Jun 2017)
Ketiadaan Kyle Walker di Tottenham Hotspur telah membuka ruang untuk Kieran Trippier untuk menyerlah, sekaligus mendapat panggilan oleh Southgate bersama skuad England.
Peluang Trippier untuk beraksi bersama England dipermudahkan lagi dengan kecederaan panjang yang menimpa pertahanan Liverpool, Nathaniel Clyne.
Selepas beraksi bersama England ketika menentang Lithuania di Vilnius, Trippier terus dominan beraksi di posisi bek kanan England untuk mengesahkan dirinya sebagai pilihan utama Pochettino.
Dalam perlawanan menentang Jerman pada hujung minggu yang lalu, Trippier menunjukkan apa yang England boleh harapkan dari dirinya. Kecenderungan Trippier untuk melakukan larian dalam membantu serangan beserta hantaran-hantaran berbahaya adalah aset utama kepada England.
Kepakaran mengambil sepakan penjuru dan sepakan percuma oleh Trippier turut boleh membantu skuad Gareth Southgate mengatur gerakan set-pieces berkualiti untuk England mengancam lawan di Rusia.
Sudah tentu kami berpendapat Kieran Trippier adalah calon yang harus dipertimbangkan oleh England untuk Piala Dunia pada musim panas tahun hadapan.
5. Michael Keane (England vs Germany, Dortmund; 22 Mac 2017)
Michael Keane masih beraksi bersama Burnley ketika dipanggil oleh Gareth Southgate untuk perlawanan persahabatan menentang Jerman pada Mac lalu.
Walaupun tewas 1-0, prestasi dan permainan meyakinkan oleh Keane mendapat pujian ramai.
Pemain berusia 24 tahun ini beraksi bersama Ireland di peringkat belia, sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skuad senior negara kelahirannya.
Untuk penampilan pertama bersama England, Keane digandingkan bersama pemain pertahanan Manchester United, Chris Smalling dan juga pemain pertahanan Chelsea, Gary Cahill yang lebih berpengalaman dalam sistem bek bertiga.
Dalam 2 perlawanan persahabatan menentang Jerman dan Brazil baru-baru ini, Keane adalah pemain simpanan yang tidak digunakan. Namun pemain ini sedar beliau harus terlebih dahulu membuktikan prestasi bersama Everton sebelum mengimpikan untuk beraksi di Piala Dunia.
6. Harry Maguire (England vs Lithuania, Vilnius; 8 Oktober 2017)
Harry Maguire hampir menjaringkan gol sulung ketika tampil dalam perlawanan pertamanya bersama England. Walaupun gagal menjaringkan gol, Maguire menunjukkan permainan yang cemerlang sepanjang perlawanan.
Lithuania mungkin lawan yang mudah. Bagaimana dengan perlawanan ketika menentang Jerman pada Jumaat lalu? Maguire memulakan perlawanan dengan agak gementar dan hampir membenarkan Timo Werner menjaringkan gol kerana kesilapannya.
Namun selepas itu, Maguire mula menunjukkan kebolehan sebenarnya. Aspek ketenangan dan kebolehan ‘ball-carrying’ adalah aset utama pemain pertahanan Leicester City ini sebagai pemain pertahanan tengah moden.
Baka pemain pertahanan seperti Maguire juga sangat diperlukan oleh Southgate untuk mencongak taktikal England di Rusia. England sudah pun memiliki pemain pertahanan tengah yang lebih direct seperti Cahill dan Smalling.
Kehadiran Maguire dan pemain pertahanan Manchester City, John Stones pasti akan melengkapkan pilihan Southgate.
Dalam perlawanan menentang Jerman tempoh hari, Maguire beraksi cemerlang menafikan Jerman yang menurunkan kesebelasan utama terbaik dan telah menjaringkan 43 gol sepanjang pusingan kelayakan Piala Dunia
Sudah tentu pengalaman menentang Jerman tempoh hari akan memberikan lebih keyakinan untuk Maguire ketika beraksi bersama Leicester City.
Rumusan
Apa pendapat anda? Pemain manakah yang wajar dipertimbangkan oleh Gareth Southgate untuk berada di dalam skuad Three Lions ke Rusia pada tahun hadapan?
Apa yang harus dilakukan oleh setiap pemain untuk menjamin tempat ke Rusia? Atau adakah anda mempunyai nama lain yang belum pernah tampil bersama England untuk disenaraikan?