Eksklusif: Sorotan Pengalaman Wakil Semuanya Bola Ke Buriram Menyaksikan Perlawanan Malaysia Bertemu DPR Korea

Ekoran kemelut semasa yang melanda Malaysia dan DPR Korea (Korea Utara), perlawanan kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 membabitkan kedua-dua negara beberapa kali terpaksa ditangguhkan.

Keadaan itu menyebabkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan di gelanggang berkecuali. Thailand menjadi pilihan AFC dengan Stadium I-Mobile [kini digelar Chang Arena], Buriram dipilih sebagai lokasi perlawanan bagi kedua-dua perlawanan.

Hasrat untuk memberikan sokongan kepada skuad negara dan juga ingin menikmati suasana stadium yang memegang rekod dunia sebagai stadium terpantas disiapkan membuatkan saya merancang untuk ke Buriram.

Misi menyokong dan mengembara kali ini sedikit berbeza berbanding pengalaman saya ke Bangkok bagi saingan Kejuaraan Futsal AFC B-20 pada bulan Mei lalu. Pengalaman yang dilalui kali ini lebih menjanjikan kelainan.

Ayuh luangkan sedikit masa bagi menyoroti perjalanan saya sepanjang seminggu di Thailand bagi aksi Malaysia bertemu DPR Korea.

Menggunakan pelbagai pengangkutan untuk ke Buriram

Seperti semua maklum, terdapat perkhidmatan kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan Bangkok terus ke Buriram.

Namun saya bersama seorang rakan memilih untuk merasai pengalaman yang berbeza apabila menggunakan perkhidmatan Electric Train Service (ETS) dari Ipoh ke Padang Besar dan meneruskan perjalanan menaiki kereta api ke Hatyai.

Setibanya di Stesen Kereta Api Hatyai Junction kira-kira jam 3.35 petang waktu Thailand, saya menaiki beca berenjin atau lebih dikenali sebagai ‘tuk-tuk’ untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai.

Stesen Kereta Api Hatyai

Perjalanan tuk-tuk tersebut mengambil masa hampir 30 minit. Segala ceruk kawasan dibawa menaiki kenderaan ini untuk sampai ke lapangan terbang tersebut.

Jadual penerbangan dari Hatyai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok adalah pada jam 10.20 malam dan hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 40 minit untuk mendarat di Bangkok.

Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang

Akibat kepenatan, saya dan rakan memilih untuk menginap di sebuah hotel ZEN Rooms D-well Residence Don Muang. Perjalanan ke hotel tersebut hanya kira-kira 10 minit dari lapangan terbang dengan menaiki Grabcar.

Perbelanjaan:

Tiket ETS Ipoh ke Padang Besar (RM 50), tiket kereta api Padang Besar ke Hatyai (RM10), bayaran hotel untuk 1 malam (RM42.50), tiket penerbangan (RM 124), tambang tuk-tuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai (300 Baht) dan tambang Grabcar ke hotel (205 Baht).

Teruskan perjalanan ke Buriram

Selesai check out dari hotel pada jam 10.00 pagi, saya meneruskan perjalanan ke Terminal Bas Nakhonchai Air yang turut terletak di Bangkok untuk terus ke Buriram.

Nakhonchai Air merupakan syarikat perkhidmatan bas yang terkenal di Thailand. Servis yang diberikan juga seolah-olah anda berada di dalam kapal terbang.

Kaunter penjualan tiket bas dari Bangkok ke Buriram.

Perjalanan ke Buriram diteruskan pada jam 2.15 petang. Ketika itu penumpang dilayan oleh pramugara yang bertugas dengan memberikan makanan, minuman, makanan ringan, dan selimut. Saya hanya mengambil minuman dan selimut yang diberikan oleh pramugara tersebut.

Di sepanjang perjalanan di dalam bas ini ke Buriram, terdapat banyak pemandangan menarik yang dapat disaksikan yang ada kalanya membuatkan saya dan rakan begitu terpegun.

Selepas menempuhi hampir 5 jam 30 minit perjalanan, akhirnya detik yang ditunggu-tunggu menjelma apabila bas tiba di Terminal Bas Buriram pada jam 7.55 petang.

Tanpa berlengah akibat kelaparan saya dan rakan terus menuju ke tempat penginapan yang telah ditempah ketika di Malaysia iaitu Hotel Hop Inn, Buriram dengan menaiki perkhidmatan motosikal.

Perbelanjaan: 

Tambang Uber ke Terminal Bas Nakhonchai Air (142 Baht), tiket bas ke Buriram (323 Baht), bayaran hotel untuk 5 malam (1500 Baht), motosikal dari Terminal Bas Buriram ke Hop Inn Hotel (40 Baht)

Stadium yang tersergam indah dan mempesonakan

Hari yang dinantikan iaitu hari perlawanan pertama iaitu pada 10 November 2017. Jarak Stadium I-Mobile, Buriram dengan hotel penginapan adalah hanya 3.5 kilometer.

Kenderaan utama ketika di Buriram.

Kenderaan yang menjadi pilihan saya disana adalah tuk-tuk kerana saya sudah mempunyai nombor telefon salah seorang daripada pemandu tuk-tuk itu.

Namun harganya lebih kurang sahaja sekiranya anda menaiki teksi dan adakalanya teksi menawarkan harga yang lebih murah berbanding tuk-tuk.

Malaysia
Perkarangan Stadium I-Mobile Stadium.

Sampai sahaja di stadium seperti biasa kerana melawat tempat yang tidak pernah dilawati sebelum ini, sudah pasti dihabiskan dengan sesi bergambar kenangan dan juga melakukan ‘live’ Facebook menjadi keutamaan untuk berkongsikan kenangan buat rakan-rakan yang lain di tanah air.

Semburan air ke padang dilakukan sebelum perlawanan berlangsung.

Saya tiba di Stadium I-Mobile pada jam 5.00 petang kerana ingin melihat suasana dan keadaan stadium tersebut pada waktu siang dan sememangnya rasa teruja melihat stadium yang tersergam indah ini.

Penyokong Malaysia ditempatkan di belakang pintu gol pada perlawanan kedua.
Walaupun masuk adalah percuma bagi kedua-dua perlawanan, namun tiket masuk perlu diambil di kaunter ini.
Pintu masuk khas buat kumpulan sorak Buriram United FC yang diketuai oleh isteri pemilik kelab iaitu Karuna Chindob.

Di stadium ini, anda tidak dibenarkan makan dan juga minum di kawasan tempat duduk. Anda hanya boleh makan dan minum di kawasan bawah sebelum memasuki kawasan tempat duduk penyokong.

Di samping mempunyai padang latihan di luar stadium, terdapat juga bazaar makanan pada waktu malam dibuka bagi memeriahkan kawasan stadium.

Kelab Buriram United FC ini juga mempunyai hotel dan 7 Eleven milik pasukan sendiri. Terdapat juga kemudahan untuk para penyokong menikmati makanan di kawasan yang dinamakan Buriram Castle seperti Mc Donalds, KFC dan banyak lagi.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai suasana di Stadium I-Mobile, Buriram anda boleh membaca artikel yang pernah dikeluarkan sebelum ini di Lelaki Ini Kongsikan ‘Matchday Experience’ Yang Luar Biasa Di Buriram

Perbelanjaan: 

Tambang tuk-tuk perlawanan pertama (400 Baht – dua hala) dan tambang teksi pada perlawanan kedua (350 Baht – dua hala)

Saksikan perlawanan pasukan Akademi Mokhtar Dahari (NFDP) beraksi di Buriram

Secara kebetulan ketika itu skuad Akademi Mokhtar Dahari B-14 tahun turut berada di Buriram bagi menghadapi Piala Antarabangsa CP-Meiji yang diadakan di padang latihan stadium.

Skuad negara berjaya melayakkan diri hingga ke peringkat separuh akhir. Perjalanan mereka terhenti apabila dikecewakan juara kejohanan, Jubilo Iwata dari Jepun menerusi sepakan penalti.

Sempat menyaksikan perlawanan diantara Buriram United FC B-14 bertemu Akademi Mokhtar Dahari

Bagi penentuan tempat ke-3/4, pasukan negara berpeluang beraksi di Stadium I-Mobile apabila membuat perhitungan bertemu pasukan tuan rumah, Buriram United FC.

Saya sempat meluangkan masa bagi menonton perlawanan tersebut yang menyaksikan skuad negara tewas 1-0 pada aksi yang disaksikan oleh hampir ratusan penyokong tuan rumah.

Perbelanjaan:

Tambang tuk-tuk (400 Baht – dua hala)

Membeli belah di Buriram United Megastore

Ini merupakan antara tarikan utama di stadium ini. Walaupun pada hari tiada sebarang perlawanan, para pengunjung tetap memenuhi kawasan ini untuk membeli barangan keluaran juara Liga Thailand ini.

Pada asalnya saya merancang untuk melakukan ‘Stadium Tour’ namun kerana perlawanan kedua diantara Malaysia bertemu DPR Korea akan dilangsungkan pada keesokan hari.

Hasil ‘selaman’ di Buriram United Megastore

Pihak stadium tidak membenarkan orang awam untuk melakukan ‘tour’ akibat kerja-kerja persiapan perlawanan sedang dijalankan ketika itu.

Jersi Buriram United FC yang dijual dengan harga yang sangat berpatutan di Buriram United Megastore.

Keadaan itu membuatkan saya memilih untuk membeli belah. Nasib menyebelahi saya apabila Buriram United Megastore membuat promosi ‘megasales’ dan sempat juga saya mendapatkan beberapa helai baju dan jersi untuk dibawa balik ke Malaysia.

Perbelanjaan:

Tambang tuk-tuk (400 Baht – dua hala), jersi Buriram United (540 Baht), baju Polo Buriram United (590 Baht), T-shirt Buriram United (250 Baht) dan Baju hujan Buriram United (29 Baht)

Selamat tinggal Buriram

Selesai check out seawal jam 7.30 pagi pada 14 November 2017, saya menaiki teksi untuk ke Terminal Bas Buriram. Bas Nakhonchai Air sudah menanti kami di terminal tersebut untuk bergerak pada jam 8.30 pagi ke Bangkok.

Perjalanan ke Bangkok saya habiskan dengan tidur kerana tidak mahu terlalu penat apabila terpaksa lama menunggu kapal terbang pada malam hari nanti.

Pramugari yang bertugas sedang memberikan air minuman kepada penumpang.

Terbangun dari lena yang panjang, saya dapati bas sudah berada hampir dengan Terminal Bas Nakhoncai Air, Bangkok dan perjalanan ke Bangkok dari Buriram mengambil masa 4 jam 55 minit.

Sebaik sahaja tiba di Bangkok, saya terus mencari teksi untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang untuk mengisi perut yang sedang kelaparan.

Di lapangan terbang, misi utama kami adalah untuk mencari kedai makanan halal yang diamakan ‘Bangmad’. Nasi briyani dan teh tarik menjadi pilihan saya.

Tepat jam 11.55 malam, penerbangan dari Bangkok ke Hatyai selamat mendarat. Saya kemudiannya menaiki teksi untuk ke Hotel The Train yang betul-betul di sebelah Stesen Kereta Api Hatyai Junction.

Perbelanjaan:

Tambang teksi ke Terminal Bas Buriram (150 Baht), tiket bas ke Bangkok (323 Baht), tambang teksi ke lapangan terbang (212 Baht – termasuk tol), tambang teksi ke Hotel The Train (300 Baht), tiket penerbangan (RM 124) dan bayaran hotel untuk 1 malam (RM45)

Hai Malaysia

Selesai bersarapan di Hatyai, saya dan rakan membeli tiket kereta api untuk kembali ke Padang Besar, Perlis pada jam 1.05 petang waktu Thailand.

Perjalanan 50 minit dari Hatyai ke Padang Besar lebih banyak dihabiskan dengan berbual bersama-sama pengunjung dari Malaysia yang lain turut berkongsikan pengalaman mereka bercuti di Thailand.

Keadaan di dalam kereta api Hatyai ke Padang Besar.

Tiba di Padang Besar jam 3.00 petang dan saya meneruskan perjalanan ke Ipoh menaiki ETS.

Perbelanjaan:

Tiket kereta api ke Padang Besar (RM10) dan tiket ETS ke Ipoh (RM50)

Rumusan

Perjalanan ini bermula dari 8 November dan tamat pada petang 15 November 2017.

Kehadiran saya bersama rakan ke Buriram juga hanyalah semata-mata untuk menyaksikan perlawanan diantara Malaysia bertemu DPR Korea dan juga untuk melihat kawasan sekitar Stadium I-Mobile.

Saya tidak melakukan sebarang kunjungan ke tempat lain yang boleh dilawati disini.

Perjalanan jauh yang begitu memenatkan namun terdapat pengalaman menarik yang dapat dirasai dalam usaha menyokong skuad negara dan juga melihat salah satu daripada mercu tanda Buriram.

*Nilai pertukaran wang yang dilakukan ketika itu bersamaan: 100 Baht = RM 13.05

Kredit featured images: Asiana.my

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN