Peluang Terakhir Untuk Harimau Malaya

Selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2019 setakat ini, skuad Harimau Malaya kini hanya mempunyai baki 2 perlawanan yang akan menentukan peluang untuk mendapatkan tiket beraksi dalam saingan Piala Asia 2019.

Kedudukan terkini kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019

Secara matematiknya, Malaysia masih berpeluang untuk menduduki sekurang-kurangnya tempat kedua dalam kumpulan dengan syarat menewaskan pasukan Korea Utara malam ini sambil mengharapkan Hong Kong tewas kepada Lebanon.

Jadi, malam ini adalah misi wajib menang atau anak buah Nelo Vingada terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia 2019. Ianya sukar tetapi tidak mustahil jika pemain berusaha bersungguh-sungguh untuk menewaskan Korea Utara.

Justeru, tonggak pertahanan negara, Adam Nor Azlin menegaskan dia dan rakan sepasukan akan bermain bermati-matian untuk mencapai misi penting itu.

“Sudah pasti fokus utama kami mendapatkan kemenangan kerana tiada pemain yang bermain untuk kalah.

“Bagi perlawanan malam ini, misi kami ialah untuk menebus maruah negara selain mahu membantu jurulatih, Nelo Vingada yang masih belum mengecapi sebarang kemenangan selepas membimbing pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang media.

Selain itu, Adam turut menegaskan dia bersedia menjadi ‘kereta kebal’ di benteng pertahanan negara yang bolos empat kali pada aksi berdepan Korea Utara, kelmarin.

“Sebelum ini saya sudah beraksi di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee (skuad B-22) dan saya fikir tiada masalah bergandingan dengan sesiapa pun di bahagian pertahanan.

“Apa yang penting, saya harap semua penyokong memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan dan kami akan cuba dapatkan keputusan positif bagi tahun ini,” katanya kepada berita harian.

Adam Nor Azlin Semakin Menunjukkan Kematangan Dalam Aksi Permainannya.

Sementara itu, Vingada mengesahkan dua tonggak pertahanan, S Kunanlan dan Fazly Mazlan serta pemain tengah, Syamer Kutty Abba kemungkinan besar tidak dapat diturunkan malam ini kerana kecederaan.

Menurut laporan akhbar Berita Harian, Fazly dan Syamer dilihat tidak menyertai latihan bersama pasukan dan difahamkan hanya melakukan proses pemulihan di hotel.

“Sudah pasti saya perlu melakukan beberapa perubahan kerana Fazly, Kunanlan dan Syamer mengalami kecederaan, mereka mungkin tidak sempat pulih sepenuhnya kerana tempoh perlawanan singkat,” jelas Vingada.

Khidmat perancang tengah JDT, Safiq Rahim ditagih oleh Vingada untuk perlawanan menentang Korea Utara malam ini selepas kembali daripada penggantungan kerana dilayang kad merah pada pertemuan dengan Hong Kong, bulan lalu.

Ketiadaan pemain yang berusia 30 tahun itu menyaksikan persembahan serba tidak menjadi dipamerkan Harimau Malaya ketika tewas 1-4 kepada Korea Utara di stadium sama, kelmarin.

“Dia (Safiq) terlepas aksi pertama (berdepan Korea Utara) kerana penggantungan, tapi dia tetap berada dalam senarai pemain ke sini (Buriram) dan berlatih bersama kami.

“Safiq pilihan terbaik yang saya ada. Jadi, saya percaya kehadirannya dapat melakukan perubahan dalam permainan pasukan ke arah yang lebih baik pada perlawanan malam esok,” kata Vingada.

Safiq Rahim menyertai sesi latihan rasmi pasukan. (Gambar : FAM)

Vingada juga mengharapkan agar Safiq mengetepikan seketika masalah di luar padang bagi mengelak sebarang tekanan kerana perlawanan malam ini cukup penting dalam menentukan sama ada Harimau Malaya masih berpeluang untuk melepasi saingan kelayakan atau sebaliknya.

Mampukah mereka melakar kejutan dengan menewaskan Korea Utara malam ini ? Sama-sama kita saksikan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN