Melaka United beruntung kerana berjaya melepaskan diri dari terjerumus ke saingan Liga Perdana 2018 selepas mengharungi musim sukar pada penampilan pertama di Liga Super sejak 2007.
Ternyata keputusan yang kurang memberangsangkan itu memberi pengajaran buat mereka untuk merancang musim dengan lebih baik untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik pada musim akan datang.
Perancangan awal telah pun dilakukan, dengan pihak Melaka United telah memanjangkan kontrak ketua jurulatih mereka iaitu Eduardo Almeida dengan lanjutan kontrak selama 2 tahun.
Ghaddar ke Hang Jebat
Perancangan rapi kini giat dilakukan oleh pasukan Melaka United dalam usaha mereka memperoleh kedudukan yang lebih baik dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.
Menurut Berita Harian, Melaka United bakal membawa penyerang sensasi Liga Malaysia iaitu Mohammad Ghaddar dari JDT sebagai teraju utama di bahagian serangan mereka.
Berita ini pastinya memberikan khabar gembira buat peminat mereka memandangkan Ghaddar merupakan seorang pemain yang dikenali sebagai penyerang cukup berjaya di Liga Malaysia.
Namun begitu, 3 pemain import mereka tidak akan bersama juara Liga Perdana 2016 itu pada musim hadapan.
Marko Simic, Jasmin Mecinovic dan juga Felipe De Souza tidak akan disambung kontrak dan akan dilepaskan.
Sementara pemain pertahanan iaitu Jeon Yoo Woung akan terus dikekalkan bagi saingan musim 2018.
Jadi, nama Ghaddar dan Yoo Woung telah pun didedahkan. Siapakah 2 lagi pemain import yang bakal menyertai Melaka United? Sama-sama kita nantikan.