Bundesliga Catat Purata Kehadiran Penonton Paling Tinggi Di Eropah

Benar kata orang, bola sepak itu tidak bermakna jika tiada penyokong di dalamnya.

Penyokong nyata merupakan satu bahagian yang terpenting dalam bola sepak. Dari mereka, kelab mampu menjana pendapatan menerusi pembelian tiket dan juga jualan barangan rasmi pasukan.

Bundesliga: liga paling mesra penyokong

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh KPMG Football Benchmark, mereka mendapati Bundesliga merupakan liga yang paling tinggi purata kehadiran mereka di serata Eropah.

Ia dapat disaksikan menerusi jumlah purata yang dicatatkan menerusi pecahan liga bagi musim 2016/2017:

  1. Bundesliga (purata 41 ribu kehadiran penyokong)
  2. Premier League (purata 36 ribu kehadiran penyokong)
  3. La Liga (purata 28 ribu kehadiran penyokong)
  4. Serie A (purata 22 ribu kehadiran penyokong)
  5. Ligue 1 (purata 21 ribu kehadiran penyokogn)

Dominasi Yellow Wall

Bagi pecahan bagi mengikut kelab, Borussia Dortmund merupakan kelab di Eropah yang mempunyai purata kehadiran penonton paling banyak.

Dalam senarai 30 kelab dengan purata kehadiran penyokong teramai di Eropah, Borussia Dortmund mencatatkan jumlah purata seramai 80,830 orang semusim. Satu jumlah yang cukup besar!

Purata kehadiran mereka itu mengatasi beberapa kelab utama lain seperti Manchester United, Real Madrid dan juga Barcelona:

  1. Borussia Dortmund (80,830 orang)
  2. Manchester United (75,027 orang)
  3. Bayern Munich (75,000 orang)
  4. Tottenham Hotspur (72,221 orang)
  5. Real Madrid (65, 239 orang)
  6. Atletico Madrid (62, 707 orang)
  7. Barcelona (61,745 orang)
  8. Schalke 04 (61,159 orang)
  9. Internazionale (59,338 orang)
  10. Arsenal (59,302 orang)

Baki 7 kelab Bundesliga lain yang memasuki senarai 30 kelab dengan purata kehadiran penyokong teramai ialah:

  • Vfb Stuttgart: 54, 392 orang (tangga ke-13)
  • Hamburg SV: 52,851 orang (tangga ke-17)
  • Borussia Mochengladbach: 50, 621 orang (tangga ke-21)
  • Hertha Berlin: 49, 699 orang (tangga ke-22)
  • FC Koln: 49, 425 orang (tangga ke-23)
  • Eintracht Frankfurt: 48, 875 orang (tangga ke-25)
  • Hannover 96: 47, 125 orang (tangga ke-30)

Apa yang menarik, Vfb Stuttgart merupakan kelab yang berada di divisyen 2 pada musim 2016/2017. Namun mereka berjaya memperoleh purata kehadiran penyokong lebih tinggi berbanding kelab-kelab seperti Liverpool yang berada di tangga ke-15 dan Manchester City di tangga ke-16.

Malah, purata kehadiran penyokong Vfb Stuttgart mencatatkan rekod yang lebih baik berbanding purata kehadiran bagi juara-juara liga utama Eropah seperti Chelsea, AS Monaco dan Juventus.

Apa rahsianya?

Reputasi Bundesliga semakin lama semakin meningkat dengan tumpuan peminat seluruh dunia sudah mula terarah kepada liga bola sepak Jerman.

Dari sudut penonton global, Bundesliga nyata membawa corak permainan menyerang yang cukup menarik untuk ditonton. Statistik menunjukkan Bundesliga menghasilkan 877 gol sepanjang musim mereka. Ia merupakan satu hiburan yang baik buat penonton!

Bagi penduduk tempatan, murahnya harga tiket di Bundesliga membuatkan penyokong gemar untuk ke stadium.

Sebagai contoh, penyokong Bayern Munich hanya perlu melabur €140 sahaja untuk semusim untuk menonton 17 perlawanan liga Bayern Munich di laman sendiri.

Ini bermakna, penyokong Bayern Munich hanya perlu membayar €8 sahaja untuk menonton satu perlawanan liga melibatkan Bayern Munich di Allianz Arena!

Penyokong Bundesliga di Jerman secara puratanya melaburkan €500 sahaja untuk kos keseluruhan ketika menonton 17 perlawanan liga melibatkan pasukan mereka di laman sendiri.

Kos tersebut termasuklah harga tiket, jersi baharu pasukan serta menikmati makan minum ketika hari perlawanan dan semestinya bir! (kerana orang Jerman gemarkan bir)

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding harga pas bermusim di kelab Premier League seperti Arsenal (£1,035), Tottenham Hotspur (£765) dan juga Liverpool (£685).

Selain itu, kelab Bundesliga juga ada menetapkan beberapa polisi untuk mewujudkan jaringan hubungan antara kelab dan penyokong.

Kesemua 18 kelab Bundesliga akan mengadakan satu sesi latihan pasukan yang boleh ditonton oleh pihak umum pada setiap minggu untuk membolehkan penyokong mereka melihat pemain pujaan mereka berlatih.

Selain daripada itu, terdapat pesta tahunan yang diadakan seperti Oktoberfest dan juga Karneval diadakan untuk mewujudkan suasana erat antara kelab dan penyokong.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN