Penyerang Barcelona kelahiran Uruguay, Luis Suarez kini sah menjadi duta pelancongan Malaysia selepas dipilih oleh Tourism Malaysia untuk mempromosikan negara kepada generasi millenial (golongan yang lahir pada era 1981-2001).
Kontrak Tourism Board bersama Luis Suarez ini akan berjalan selama setahun. Ia menjadi kenyataan selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan tandatangan kontrak antara Tourism Malaysia dengan Mediapro, wakil agensi pemain bintang Barcelona tersebut di Asia.
Bercakap kepada media semalam, Nazri berkata Suarez merupakan ‘hero’ kepada golongan millenial dan popularitinya boleh menarik golongan tersebut datang ke Malaysia.
“Sebagai hero kepada golongan millenial, Suarez adalah satu inspirasi dan kami mengharapkan kerjasama ini akan menyerlahkan lagi sinar Malaysia sebagai destinasi percutian tropika bagi golongan millenial yang gemar melancong dan sukakan cabaran.”
Luis Suarez yang baru menjaringkan 3 gol dalam 14 perlawanan pada musim ini mendedahkan rasa hormat dan terharu beliau kerana dipilih sebagai duta pelancongan Malaysia.
“Saya teruja dan tak sabar untuk memperkenalkan negara eksotik ini kepada dunia, terutamanya tentang budaya dan warisannya kepada semua peminat-peminat saya dan membuatkan mereka datang ke Malaysia.”
Pengurus hak ekonomi Suarez di Asia, Lars Heidenreich yang juga pengarah urusan Mediapro Asia berkata kerjasama La Liga dengan Tourism Malaysia telah berlangsung selama setahun untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi rasmi La Liga di Asia.
“Kerjasama ini diperkukuhkan lagi dengan penajaan bintang dunia seperti Luis Suarez. Beliau bukan sahaja sangat popular di Asia, malah mampu meyakinkan banyak peminat beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian mereka,” kata Heidenriech.
Benarkah Luis Suarez popular di Asia?
Satu aspek yang perlu diambil kira sebelum melantik duta pelancongan Malaysia adalah populariti calon duta tersebut di Asia.
Mengapa Asia? Ini kerana ranking 1-10 pelancong teramai yang datang ke Malaysia adalah dari negara-negara Asia. Bagi negara luar Asia, rakyat United Kingdom adalah yang paling ramai melancong di Malaysia (tangga ke-11 ranking pelancong teramai di Malaysia).
Mengambil kira faktor kerjasama La Liga dengan Tourism Malaysia, kami membandingkan populariti pemain-pemain La Liga (Barcelona dan Real Madrid terutamanya) di Asia untuk menentukan apakah benar Luis Suarez pemain paling popular di Asia.
Berdasarkan Google Trends, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi masih merupakan pemain bola sepak paling popular di China dan Indonesia (pelancong kedua dan ketiga teramai di Malaysia) jika dibandingkan dengan Luis Suarez.
Mengambil kira faktor Tourism Malaysia mungkin tidak mampu membayar harga premium untuk mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sebagai duta pelancongan, kami membandingkan populariti Suarez di Asia dengan pemain La Liga yang mempunyai followers terbanyak selepas Ronaldo dan Messi.
Pemain tersebut adalah Gareth Bale dan Andres Iniesta.
Selepas melihat data di Google Trends, rupa-rupanya Gareth Bale jauh pemain lebih popular berbanding Luis Suarez di Indonesia.
Tetapi di China, Luis Suarez jauh lebih popular berbanding Gareth Bale.
Dari segi media sosial pula, Luis Suarez mempunyai 25.2 juta pengikut di Instagram beliau. Jumlah pengikut ini jauh ketinggalan berbanding Cristiano Ronaldo yang mempunyai 114 juta pengikut dan Lionel Messi yang mempunyai 83 juta pengikut.
Tetapi jika dibandingkan dengan Gareth Bale, Suarez mempunyai pengikut yang jauh lebih rendah.
Secara keseluruhannya, kami berpendapat Tourism Malaysia melakukan tugas yang baik dengan melantik Luis Suarez sebagai duta pelancongan negara memandangkan populariti penyerang Barcelona ini tinggi juga di Asia.
Tetapi jika kita mahu menarik lebih banyak pelancong dari Eropah, Gareth Bale jauh lebih layak menjadi duta pelancongan negara.