Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (Pahang FA) melalui laman facebook-nya hari ini menzahirkan ucapan terima kasih ke atas 8 pemain skuad Tok Gajah di atas jasa dan sumbangan pemain ini sepanjang mengharungi kempen Liga Malaysia sebelum ini.
Antara pemain-pemain yang dimaksudkan ialah pemain paling senior, Saifulnizam Miswan, Jaewon Heo, Nordin Alias, Syamim Yahya, Nurridzuan Abu Hassan, Joseph Kallang Tie, Ashari Samsudin dan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh yang pulang menabur bakti bersama Terengganu.
Di antara 8 pemain yang ini, paling terkesan sudah pasti pemain paling lama menabur bakti bersama Pahang.
Saifulnizam yang mula bersama Pahang sejak musim 2009 banyak meninggalkan memori suka dan duka bersama pasukan termasuklah insiden pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014.
Pemain kelahiran Johor ini turut bersama Pahang dalam apa jua keadaan termasuklah menjadi watak penting dalam kebangkitan pasukan ketika beraksi di Liga Perdana musim 2012.
Sementara itu, Ashari Samsudin dan Joseph Kalang Tie turut menjadi tonggak dalam pasukan terutamanya pada pusingan pertama Liga Super 2017.
Kedua-dua pemain ini turut mencetak nama sebagai penjaring buat Pahang termasuklah gol cantik rembatan kaki kiri Joseph Kalang Tie di Stadium Hang Jebat dalam aksi Liga Super lalu.
Begitu juga sumbangan yang dimainkan oleh Syamim Yahya dan Nurridzuan dalam membantu jentera tengah pasukan Tok Gajah.
Meskipun kurang membuat penampilan, kemasukan Nurri pada lewat permainan mampu menghantar Pahang ke pentas akhir Piala FA selepas pemain ini melakukan hantaran silang tepat ke arah Sumareh.
Dalam pada itu, Pahang FA masih belum menyatakan secara rasmi mengenai perpindahan masuk beberapa pemain bagi menggantikan pemain ini. Namun terdapat desas-desus mengatakan terdapat beberapa pemain muda ketika musim 2016 akan kembali bersama pasukan.
Ini juga termasuk beberapa bekas pemain yang pernah bersama Pahang ketika musim 2013-2014 yang berminat menyarung jersi keramat kuning biru bagi saingan Liga Malaysia musim 2018. Sejauh mana kebenarannya, sama-sama kita tunggu dari semasa ke semasa.