Kelab Iraq, Al-Quwa Al-Jawiya mengekalkan trofi Piala AFC di kabinet mereka untuk kali ini. Mereka menewaskan wakil Tajikistan, Istiklol.
Pertemuan kali ini merupakan pertemuan antara juara bertahan pada musim lalu (2016) dengan naib juara edisi 2015. Istiklol sebelum ini tewas kepada Johor Darul Takzim pada final 2015 di Dushnabe.
Harapan ranap
Meskipun Istiklol beraksi di laman sendiri, mereka tidak dapat menahan kemaraan pasukan lawan. Pemain Al-Quwa, Emad Mohsin menjaringkan gol pada minit ke-68.
Penyerang dari Iraq itu hanya beraksi sehingga minit ke-78. Kemudiannya beliau dibawa keluar dan Ahmad Abdul-Ridha dibawa masuk.
Penjaga gol Istiklol, Nikola Stosic pasti akan kecewa kerana dua kali gagal menjaga gawang dengan baik dalam kedua-dua perlawanan akhir Piala AFC. Rakan sepasukannya, Nuruddin Davronov juga turut kecewa. Beliau juga sebelum ini beraksi dalam final edisi 2015.
Bukti untuk rakyat Iraq
Pertahanan Al-Quwa, Sameh Saeed ketika bercakap kepada pemberita AFC, beliau berpandangan kemenangan ini wajar ditujukan kepada rakyat Iraq. Malah, beliau juga memuji kepimpinan ditunjukkan jurulatih kelab, Hussam al Sayed.
Hussam berjaya memberikan dorongan walaupun para pemain beraksi dalam tekanan di hadapan penyokong tuan rumah. Malah, mereka dapat bermain baik walaupun di atas permukaaan padang yang asing bagi mereka.
Apa pun, kami ucapkan tahniah kepada Al-Quwa Al-Jawiya di atas kemenangan Piala AFC kali kedua berturut-turut!