Ketua jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada telah mengumumkan senarai 23 pemain yang akan berangkat ke Thailand esok bagi menghadapi dua perlawanan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram pada 10 dan 13 November 2017.
Dua pemain baharu iaitu Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak dan Hadin Azman dari Felda United telah dipanggil bagi menggantikan tempat Darren Lok dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Baddrol Bakhtiar (Kedah) yang dilaporkan mengalami kecederaan.
Seorang lagi pemain dari JDT, Junior Eldstal yang sebelum ini berada dalam senarai awal 25 pmain yang diumumkan pada 1 November lalu turut tiada dalam senarai akhir Vingada, sekali gus menjadikan hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Thailand.
Skuad Harimau Malaya telah memulakan latihan pertama petang semalam akan turun menjalani latihan kedua & terakhir di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, petang ini sebelum berlepas ke Buriram melalui Bangkok, pagi esok.
Pada hari pertama latihan pusat petang semalam, hanya 10 pemain melaporkan diri manakala 12 tonggak JDT dan dua pemain Kedah akan melaporkan diri hari ini.
Vingada hanya mempunyai beberapa hari sahaja untuk membentuk pasukan termasuk dari segi taktikal bagi menghadapi perlawanan hidup mati skuad Harimau Malaya di Buriram, Thailand nanti.
Jurulatih kelahiran Portugal itu berkata, dia tidak bimbang mengenai proses pemulihan pemain terutama dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah yang baru sahaja mengharungi aksi final Piala Malaysia, malam kelmarin.
“Mereka (pemain) profesional dan tempoh untuk pemulihan cukup. Apa yang saya lebih bimbang ketika ini adalah tempoh persiapan pasukan yang terlalu singkat.
“Selasa ini kami akan terbang ke Buriram, hanya Rabu saja skuad lengkap dapat dikumpulkan kerana pemain JDT dan Kedah dijangka melaporkan diri malam esok.
“Jadi, Khamis ini saya perlu pilih pemain untuk beraksi pada Jumaat, Sabtu mereka perlu jalani proses pemulihan, dan kami hanya ada masa pada Ahad untuk berlatih semula sebelum perlawanan kedua keesokannya (13 November),” katanya kepada berita harian.
Kumpulan B saingan kelayakan ketika ini menyaksikan Lebanon di tangga teratas dengan 10 mata, Hong Kong di tangga kedua dengan 5 mata, Korea Utara ketiga dengan 2 mata dan Malaysia keempat dengan 1 mata. Lebanon dan Hong Kong sudah beraksi empat perlawanan manakala Korea Utara dan Malaysia kurang satu perlawanan.
Setakat ini skuad Harimau Malaya masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak Nelo Vingada dilantik sebagai jurulatih. Jika tewas kepada Korea Utara, peluang skuad negara untuk ke Piala Asia 2019 sudah tertutup.