Di awal musim nama Henrikh Mkhitaryan adalah antara pemain yang menjadi sanjungan hampir keseluruhan penyokong Red Devils di seluruh dunia. Gerakkannya lincah dan pantas, lantas menghiburkan setiap daripada kita yang menonton aksi beliau.
Kehebatan Mkhitaryan turut dibuktikan dengan statistik 5 bantuan gol daripada 3 perlawanan awal membabitkan Manchester United, diikuti dengan 1 jaringan gol ketika membantu United membelasah Everton 4-0 pada September lalu.
Ramai penganalisa bola sepak yakin pemain tengah antarabangsa Armenia ini akhirnya akan menunjukkan potensi sebenarnya pada musim kedua di Old Trafford, setelah bermula agak perlahan pada musim sebelumnya.
Selepas beberapa aksi kurang konsisten dalam beberapa perlawanan bersama Manchester United (terbaru ketika aksi menentang Chelsea); kini timbul persoalan di kalangan ramai penyokong United dan pemerhati bola sepak Inggeris.
Adakah benar Henrikh Mhkitaryan atau lebih sinonim dengan panggilan Miki adalah seorang pemain yang istimewa buat Manchester United?
Ikuti analisis ringkas kami.
Dari pemain sayap kepada No.10
Musim lalu kita menyaksikan Mourinho lebih kerap meletakkan Mkhitaryan sebagai pemain sayap kanan, dan adakalanya beraksi di sayap kiri.
Sejak awal musim 2017/18, Mourinho meletakkan Mkhitaryan di bahagian tengah serangan United sebagai pemain No.10, di belakang penyerang utama Romelu Lukaku.
Analisis ini bukan berniat mengecilkan keupayaan Mkhitaryan. Namun kita harus realistik. Posisi baru Mkhitaryan sebenarnya tidak mengubah keupayaan pemain tersebut sehingga menjadikan prestasi United cemerlang seperti pada awal musim.
Tetapi sistem dan taktikal yang diterapkan oleh Mourinho menjadikan Mkhitaryan seorang pemain yang berpengaruh pada fasa serangan sebagai titik fokal kreativiti pasukan.
Bagaimana sistem Mourinho jadikan No.10 sebagai fokal kreativiti
Untuk itu, Miki memerlukan sokongan pemain lain di dalam pasukan. Pada peringkat awal kempen pada musim ini, Mourinho secara konsisten mengadaptasi formasi 4-2-3-1.
Nemanja Matic hadir sebagai pemain tengah pertahanan, berfungsi dalam melakukan pintasan, sedikit sebanyak membantu barisan 4 pemain pertahanan United. Sistem ini membenarkan Paul Pogba untuk bergerak bebas ke hadapan.
Selain Pogba, Miki turut disokong oleh kepantasan Rashford atau Martial di sebelah kiri, dan juga Antonio Valencia (bek kanan) yang cenderung melakukan serangan di wide area di sebelah kanan serangan.
Malah ketika ketiadaan Pogba, Marouane Fellaini masih mampu mengekalkan depth yang diperlukan oleh Mkhitaryan.
Sementara itu Mkhitaryan, yang diplot sebagai sayap kanan ataupun terus di tengah sebagai No. 10, akan sentiasa bergerak dan beroperasi di bahagian tengah Zon 14.
Sistem ini membenarkan Miki bergerak bebas untuk mencari ruang dengan sokongan yang beliau miliki.
Jika Mkhitaryan bermain di posisi No. 10 di belakang Lukaku, maka Juan Manuel Mata yang bermain di kanan juga tetap akan bergerak ke tengah sekaligus menghubungkan permainan dengan Mkhitaryan.
Secara keseluruhan, ini menjadikan tugas dan peranan Miki menjadi mudah. Fokus beliau hanyalah untuk mencipta peluang untuk Lukaku, Rashford atau Martial, Juan Mata serta pemain lain untuk melakukan penyudah dari kawasan tight tengah yang padat (Zon 14).
Statistik pada musim ini menunjukkan Miki lebih kreatif ketika beraksi di bahagian tengah di belakang penyerang utama. Secara purata, Miki menghasilkan 3 peluang besar dan 4 sehingga 5 peluang secara keseluruhan dalam tempoh 90 minit pertandingan.
Ketika United mencatat keputusan seri 2-2 menentang Stoke pada awal musim, Miki beraksi dari sayap kanan dan hanya mencipta 2 peluang.
Malah ketika beraksi bersama Borussia Dortmund, Miki lebih banyak terlibat sebagai No. 10 di mana beliau mencatatkan total 11 gol dan 15 bantuan gol sepanjang kempen 2015/2016 di Bundesliga.
Dari data ini, kita boleh simpulkan bagaimana prestasi Miki adalah lebih menyerlah beraksi di posisi No.10 berbanding di posisi sayap.
Posisi No.10 Mkhitaryan formula terbaik serangan United?
Apakah signifikan dan impak kehadiran Lukaku kepada aksi Mkhitaryan?
Dengan kehadiran Lukaku, United berupaya menyudahkan serangan balas yang pantas daripada bahagian tengah. Miki akan memainkan peranan dari saat United mendapatkan bola sebelum pemain ini membuka ruang atau menggelecek masuk.
Perhatikan contoh di bawah. Kita bisa perhatikan serangan balas (counter-attack) oleh United dan bagaimana Mkhitaryan berfungsi.
United exploited the space behind the Basel full backs intelligently after gaining possession within their own half. Sharp on the counter pic.twitter.com/AQq38rrnld
— Football Bloody Hell (@fbhfootball) September 12, 2017
Penyudah oleh Lukaku pula hanya akan menyimpulkan keberkesanan Mkhitaryan yang beraksi di belakang beliau.
Ketika bertahan pula, United akan mengubah formasi mereka kepada 4-4-2 atau 4-1-4-1 dengan Lukaku dan Mkhitaryan berada di bahagian posisi paling hadapan untuk melakukan pressing.
Apa masalah dengan Mkhitaryan sekarang?
Perenggan di atas menunjukkan taktikal Mourinho seperti sempurna. Pengendali dari Portugal itu berjaya menggunakan kreativiti Mkhitaryan dan menampakkan hasil di awal kempen musim 2017/18.
Namun, persoalannya sekarang, apakah yang menyumbang kepada kemeruduman prestasi Mkhitaryan? Adakah ia kesilapan taktikal Mourinho? Adakah ia kerana Mkhitaryan hilang sentuhan?
Untuk Mkhitaryan kekal efektif, United bukan sahaja memerlukan seorang pemain No.9 yang dominan seperti Lukaku. United turut tidak mempunyai masalah besar di bahagian sayap.
Namun ketiadaan Paul Pogba dan kemudian Marouane Fellaini sebagai pemain ‘box to box’ sedikit sebanyak merencatkan fungsi Mhkitaryan.
Perhatikan data di atas. Sejak kehilangan khidmat Pogba dan Fellaini sebagai alternatif yang lebih berkesan pada September, Mkhitaryan kurang produktif di dalam permainannya.
Untuk ini, kami hanya ada satu andaian buat masa ini. Ketiadaan Pogba menyebabkan ‘workload’ Miki bertambah. Jika sebelum ini beliau hanya perlu mencari ruang dan menunggu hantaran daripada pemain seperti Pogba, kini beliau harus lebih kerap turun ke bawah untuk mendapatkan bola.
Perhatikan ‘heat map’ Mkhitaryan ketika menentang Chelsea pada hujung minggu yang lalu. Miki tidak beroperasi di kawasan yang sepatutnya. Malah Miki lebih kerap berlegar di kawasan tengah padang untuk mendapatkan hantaran.
Keadaan ini bukan kali pertama berlaku musim ini. Ia lebih ketara dalam perlawanan menentang Liverpool tempoh hari. Kegagalan Mkhitaryan berfungsi seperti yang dikehendaki, turut akan menyebabkan Lukaku berada dalam keadaan ‘isolated’, kerana kurang mendapat hantaran.
Dalam perlawanan menentang Chelsea, Fabregas mempunyai peranan yang sama dengan Mhkitaryan. Namun pemain Chelsea itu mendapat lebih sokongan daripada N’golo Kante dan juga Tiémoué Bakayoko.
Rumusan
Sejak beberapa musim yang lalu, Manchester United sering mempunyai masalah kreativiti terutama di bahagian ‘final third’ serangan. Tatkala bola sepak moden cenderung menggunakan seorang penyerang, posisi No.10 adalah antara posisi yang penting dalam sistem ini.
Adakah Henrikh Mkhitaryan adalah penyelesaian mutlak untuk Manchester United untuk isu kreativiti? Atau adakah Mkhitaryan sebenarnya bukan pemain istimewa yang United cari selama ini?
Hasil analisis di atas hanya membuktikan satu perkara. Mkhitaryan hanya berbisa kerana sistem yang diwujudkan oleh Mourinho untuk profil pemain seperti Miki. Adakah benar ianya sedemikian?
Apa pendapat anda? Anda mempunyai hujah dan pendapat yang lain untuk dikongsikan? Nyatakan di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.