Di sebalik khabar angin yang bertiup mengenai Mauricio Pochettino ke Real Madrid, pengendali Tottenham Hotspur dari Argentina itu mengesahkan komitmen bersama kelab bimbingannya ketika ini dengan menyifatkan Tottenham sebagai kelab terbaik di dunia.
Pengurus berusia 45 tahun itu sekali lagi dikaitkan dengan Real Madrid apabila anak buah beliau berjaya menewaskan gergasi Sepanyol itu 3-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah yang berlangsung pada Rabu lalu.
”Kelab yang paling penting di dunia ialah Tottenham Hotspur. Dan juga merupakan kelab yang terbaik di dunia,” jelas Pochettino bagi menunjukkan komitmen terhadap kelab yang disertainya sejak tahun 2014 itu.
”Saya perlu merasakan seperti ini dan ianya adalah emosi yang benar buat saya kerana saya tidak boleh menjadi palsu (berpura-pura). Ianya sukar untuk mewujudkan kepercayaan sekiranya anda tidak benar-benar mempercayainya. Itulah emosi.”
”Tottenham Hotspur hari ini adalah 100% berada di dalam kepala saya. Ketika ini saya tidak akan mengubah Tottenham Hotspur dengan mana-mana jawatan di dunia kerana saya terlibat dengannya, saya begitu fokus.”
”Kelab ini layak untuk mempunyai individu yang hanya memikirkan mengenai kelabnya, penyokong, para pemain dan strukturnya.”
Pochettino telah memperbaharui kontraknya bersama Spurs sehingga tahun 2021 pada bulan Mei tahun lalu berkata Tottenham merupakan sebuah pasukan yang hebat.
”Tottenham merupakan kelab yang hebat dan sangat penting bagi kami untuk membayar semula kepada kelab atas apa yang telah dilakukan oleh kelab kepada kami.”