Tiada Masalah Jika Rekod Jaringan Saya Diatasi – Marlon Alex James

Marlon Alex James

Adakah Mohammed Ghaddar akan menempa sejarah baharu penjaring terbanyak Liga Super?

Itu adalah tajuk artikel Semuanya BOLA sebelum ini mengenai kemungkinan rekod jaringan bekas penyerang import Kedah, Marlon Alex James yang bakal dipecahkan pada Sabtu ini.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berpeluang untuk mengatasi rekod jaringan Marlon, sekiranya dia berjaya meledakkan sekurang-kurangnya satu gol dalam aksi Liga Super menentang Kedah, Sabtu ini.

Adakah Ghaddar akan memintas rekod Marlon?
Foto Rasul Azli Samad.

Pada musim 2008, bersama Kedah, Marlon ketika itu telah merekodkan 23 gol untuk muncul selaku pemenang Kasut Emas, sementara Kedah pula merekodkan kejuaraan ‘double treble’ pada musim tersebut.

Marlon yang ketika ini berada di kampung halamannya, Saint Vincent & the Grenadines, telah dihubungi oleh Semuanya BOLA untuk bertanyakan reaksinya berhubung situasi ini.

“Secara jujurnya saya tidak sangka saya adalah pemegang rekod tersebut kerana saya hanya fokus pada persembahan pasukan secara keseluruhan,” jelas Marlon yang kini sudah berusia 40 tahun.

“Saya tiada masalah sekiranya rekod jaringan saya itu berjaya diatasi. Sebabnya, jika kita lihat dia (Ghaddar) beraksi bersama pasukan yang jauh lebih hebat (berbanding Kedah) pada ketika ini, JDT.

“Sepatutnya penyerang-penyerang JDT perlu meletakkan sasaran untuk menjaringkan lebih daripada 30 gol dalam saingan Liga Super,” ujar bekas penyerang berbisa Kedah itu lagi.

Marlon Alex James
‘Mesin Gol’ Kedah ketika di zaman ‘double treble’.

Tiga tahun bersama Kedah, secara keseluruhannya, Marlon telah meledakkan lebih 40 gol dan sepanjang beraksi di Malaysia bersama tiga kelab (MK Land FC, Kedah dan ATM), Marlon telah merekodkan hampir 130 gol.

Semuanya BOLA turut berkesempatan bertanyakan perkembangan terkininya selepas dia pulang ke negaranya apabila tamat kontrak bersama ATM pada tahun 2014.

“Ketika ini saya tidak bekerja. Tetapi saya ada membuat sesi-sesi kejurulatihan apabila berpeluang,” ujarnya yang baharu sahaja selesai mendapatkan lesen D kejurulatihan.

Ketika ditanya adakah dia sudi untuk kembali ke Malaysia untuk menyertai barisan kejurulatihan untuk mana-mana pasukan di Malaysia, dia ternyata sangat berminat.

“Saya sangat rindukan Malaysia dan pastinya saya ingin kembali dan bertugas di sana,” tutur penyerang yang sinonim dengan jersi nombor 9 itu.

Sebelum pulang ke tanah airnya, dipetik berkata kepada Astro Arena, Marlon telah mengeluarkan kenyataan pedas mengenai kurangnya profesionalisme dalam arena bola sepak negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN