Walaupun sudah mengecapi kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 3 kali dalam kariernya, Baddrol tetap mahu memastikan piala kejohanan tertua di Asia itu kekal di bumi Kedah.
Kedah selaku juara bertahan, akan menghadapi juara liga super 2017, JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada 4 November depan di Stadium Shah Alam.
Selain Piala Malaysia, pemain berpengalaman skuad kebangsaan itu juga cemerlang membantu Kedah menjuarai Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini.
“JDT pasukan yang kuat di Malaysia kerana mereka ada pemain yang memiliki teknik bagus, pemain import yang bagus tapi bagi kami, itu satu cabaran dalam bola sepak.
“Kami akan bermain seperti sebelum-sebelum ini dan kami akan buktikan bahawa pasukan Kedah ini pasukan elit yang begitu digeruni di Malaysia,” katanya kepada berita harian.
Ini kali kedua skuad Helang Merah bertemu JDT bagi perebutan piala apabila menjulang trofi Piala Sumbangsih awal tahun ini menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas permainan terikat 1-1.
Baddrol juga pernah membantu Kedah juara treble pada tahun 2007 dan 2008 ketika dibawah bimbingan Azraai Khor. Pemain yang berusia 29 tahun itu turut membantu Kedah menewaskan Pahang dalam perlawanan akhir Piala FA bulan mei lepas lalu mengesahkan slot AFC Cup tahun depan.
Kedah juga dikatakan bakal kehilangan beberapa pemain disebabkan isu dalaman yang melibatkan pengurusan pasukan. 2 pemain import, Ken Ilso dan Zac Anderson sudah mengucapkan selamat tinggal melalui laman instagram.
Walaupun dilanda pelbagai isu dalaman dan masalah kecederaan, Baddrol tidak mahu mensia-siakan peluang di final apatah lagi selepas pengorbanannya bermain dalam kesakitan belakang tengkuk dan mukanya akibat pelanggaran dengan rakan sepasukan pada sesi latihan sehari sebelum perlawanan separuh akhir kedua Sabtu lalu.
“Memang saya berada dalam keadaan sakit tapi saya tak hiraukan sakit itu sebab saya fikirkan pasukan dan nekad saya untuk membawa Kedah sekali lagi ke final,” katanya
.