Bagi terus menghangatkan suasana menjelang perlawanan akhir Perak bertemu Terengganu nanti, Semuanya BOLA telah menyingkap mengenai pasukan yang berjaya menjadi juara Piala Malaysia pada alaf baru bermula tahun 2000 hingga 2006.
Bagi yang ketinggalan untuk membaca artikel tersebut, anda boleh membacanya di Senarai Pemenang Piala Malaysia Alaf Baru (2000 Hingga 2006).
Kali ini akan dibawakan pula juara-juara Piala Malaysia dari tahun 2007 hingga 2011:
2007 (Kedah tewaskan Perak 3-0)
Kedah kelihatan begitu garang apabila terlebih dahulu berjaya menjuarai Liga Super dan Piala FA pada musim berkenaan dengan kehadiran penyerang import berbisa, Marlon Alex James yang berjaya menjadi tonggak utama kejayaan Kedah.
Lawan yang ditemui pada perlawanan akhir juga bukanlah calang-calang pasukan iaitu Perak. Skuad Yop itu dibarisi pemain-pemain nama besar seperti Ahmad Shahrul Azhar, Yusri Che Lah, Khalid Jamlus, Keita Mandjou dan ramai lagi.
Persaingan kedua-dua pasukan juga telah bermula dari Liga Super namun Kedah lebih fokus untuk mengekalkan momentum kemenangan bagi meninggalkan Perak di tempat kedua liga.
Dalam perlawanan ini, Khyrill Muhymeen Zambri berjaya meledakkan jaringan pendahuluan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Marlon kemudiannya menambah 2 lagi jaringan untuk melengkapkan kejuaraan ‘treble’ buat Kedah yang dibimbing Mohd Azraai Khor Abdullah.
2008 (Kedah menewaskan Selangor 3-2)
Dominasi Kedah terus berleluasa apabila mereka sekali lagi mencatatkan kejayaan ‘treble’ pada musim berikutnya.
Kejayaan yang disambut dengan sorakan gegak gempita hampir 40000 penyokong setia Kedah yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan ini juga merupakan detik perpisahan iaitu perlawanan terakhir buat Marlon Alex James, Nelson San Martin dan Cornelius Bernard Huggins yang berjaya menjadi sebahagian daripada sejarah yang dilakarkan bola sepak Kedah setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia membuat keputusan untuk melarang penggunaan pemain import dalam liga pada musim hadapannya.
Mendiang Frank Seator berjaya membuka tirai jaringan buat Selangor apabila berjaya menyudahkan peluang hasil sepakan percuma dari Indra Putra Mahayuddin yang gagal ditangkap kemas oleh Helmi Eliza Elias di gawang Kedah.
Kedah kembali bangkit apabila berjaya menghasilkan dua jaringan pantas pada minit ke-31 dan 32 menerusi Marlon Alex James dan Nelson San Martin. 5 minit berselang Kedah terus melebarkan kedudukan berpunca dari kesilapan barisan pertahanan Selangor untuk Mohd Fadly Baharom menjaringkan gol ketiga buat negeri jelapang padi itu.
Safee Sali berjaya merapatkan jurang pada minit ke-77 namun jaringan tersebut tidak mampu untuk menafikan kejuaraan yang dicapai skuad Kedah pada malam gemilang tersebut.
2009 (Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1)
Kejayaan ini memberikan kejuaraan sulung buat Negeri Sembilan setelah kali terakhir memenangi piala tersebut pada tahun 1948 (ketika itu Piala HMS Malaya).
Rembatan kencang dari Shahurain Abu Samah yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Halim Napi memberikan jaringan pendahuluan buat Negeri Sembilan pada minit ke-17.
Pemain pinjaman dari T-Team, Hairuddin Omar menambah jaringan kedua sejurus babak kedua bersambung apabila bijak melolosi pertahanan Kelantan bagi melepasi perangkap ofsaid seterusnya berjaya menanduk masuk hantaran cantik dari Zaquan Adha Abd Radzak.
Zaquan Adha berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas Shahurain Abu Samah dikasari dalam kotak penalti oleh Zamri Ramli untuk kelebihan selesa tiga gol buat skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan.
Gol saguhati Kelantan dihasilkan menerusi sepakan percuma cantik dari Indra Putra Mahayuddin.
2010 (Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1)
Kedua-dua pasukan kembali bertemu sekali lagi bagi memburu kejuaraan Piala Malaysia. Setelah hampa pada musim 2009 dan memberikan kejayaan sulung buat Negeri Sembilan, musim berikutnya giliran Kelantan untuk meraih kejayaan sulung selepas kemarau kejuaraan hampir 89 tahun.
Hairuddin Omar sudah pasti menjadi pemain yang paling bertuah kerana selepas berjaya menjuarai piala tersebut bersama Negeri Sembilan pada tahun 2009, beliau berjaya mengulanginya dan kini membantu Kelantan pula untuk meraih kejuaraan tersebut.
Lebih signifikan, Hairuddin turut berjaya menghasilkan gol pada perlawanan ini sekali lagi berjaya menanduk masuk untuk jaringan penyamaan bagi memadamkan kelebihan sepakan penalti yang dihasilkan oleh Shahurain Abu Samah. Shahurain turut menjaringkan gol pembukaan pada final tahun 2009.
Badhri Razi muncul wira buat Kelantan setelah berjaya melakukan rembatan kencang untuk memperdayakan Sani Anuar Kamsani bagi mencatatkan sejarah buat Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama.
2011 (Negeri Sembilan menewaskan Terengganu 2-1)
Kejayaan ini juga memberikan tiga kejuaraan Piala Malaysia berturut-turut berjaya diraih secara peribadi oleh Hairuddin Omar manakala kali kedua dalam masa tiga tahun buat Negeri Sembilan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu, Mohammad Ashari Samsudin terlebih dahulu menggembirakan penyokong Terengganu apabila berjaya membuka tirai jaringan pada babak kedua.
Namun kegembiraan tersebut hanya seketika apabila S.Kunanlan yang melakukan hantaran jauh gagal diselamatkan oleh Sharbinee Allawee untuk jaringan penyamaan buat Negeri Sembilan.
Hairuddin Omar sekali lagi membuktikan beliau adalah seorang pemain yang begitu berkualiti. Beliau terus berjaya membantu pasukan yang diwakilinya menjuarai Piala Malaysia dan turut menghasilkan jaringan kemenangan buat Negeri Sembilan pada perlawanan ini.