Pertarungan di antara JDT dan Perak lebih kepada pertarungan pasukan yang bertahan dengan pasukan yang menyerang.
JDT menang 3-0 dalam perlawanan ini dengan agregate 4-1 untuk mara ke perlawanan final Piala Malaysia 2017.
Permulaan
JDT turun dengan sistem 4-3-3 dalam perlawanan ini. Manakala Perak turun dengan pendekatan lebih rigid 4-4-2.
Organisasi pertahanan Peraks separuh masa pertama
Mereka sangat berdisiplin pada separuh masa pertama meskipun ada beberapa kelekaan mereka membuatkan Hafizul Hakim diuji oleh barisan serangan pasukan JDT.
Apa yang Perak lakukan pada separuh masa pertama adalah, mereka cepat membentuk unit yang kompak. Gilmar akan berada di garisan paling tinggi untuk menerima bola panjang dalam serangan balas.
Ini adalah contoh organisasi mereka yang kompak dengan kesanggupan 2 pemain sayap mereka turun ke bawah untuk mengekang bek sisi ofensif JDT.
Kesan yang ketara, mereka mendesak JDT banyak ke zon sayap dan sukar untuk akses ke zon 14. Corak hantaran pasukan JDT tidak penetratif kerana organisasi Perak yang kompak ini.
Serangan JDT dan Perak separuh masa pertama
JDT berhadapan dengan isu sukar untuk akses ke zon 14. Mereka juga tidak efektif untuk lebih berhubung dengan Ghaddar. Dispilin pertahanan Perak yang agresif membuatkan JDT sukar.
Pasukan JDT agak direct pada beberapa fasa dan agak gopoh. Mereka akan berlari ke kotak penalti tanpa ada variasi dalam permainan kombinasi.
JDT kerap kali tidak mengendahkan opsyen di kawasan sayap ketika mereka cuba memecahkan rantaian pertahanan Perak yang kompak. Pemain tengah tidak melihat animasi yang digerakkan oleh Cabrerra dan Kunanlan di sayap.
Lihat di bawah ini, Guerra tidak mengendahkan sokongan daripada Kunanlan yang boleh memberikan ancaman kerana Perak sangat kompak.
Manakala pasukan Perak bergantung kepada serangan balas. Ini kerana 2 pemain sayap mereka dijadikan pemain sayap defensif.
Apa yang berlaku mereka tidak ada cukup kepantasan untuk menyerang dari kawasan dalam. Nasir dan Khairil Anuar jelas sekali keletihan dengan sistem yang memerlukan mereka berada di garisan yang sangat ke bawah.
Dalam perlawanan pertama di Ipoh, Khairil Anuar menjadi zon utama pembekal kepada serangan kerana posisi beliau lebih ke atas.
Rajah di bawah ini menggambarkan jarak yang jauh perlu ditempuh oleh Nasir dan Khairil Anuar. Taktikal ini agak defensif. Sedangkan Perak perlu menjaringkan gol dalam perlawanan ini.
Kesan yang paling ketara, Gilmar dan Zaquan kekurangan servis daripada 2 pemain sayap mereka. Dari segi pertahanan, Perak bermain baik pada separuh masa pertama.
Namun dari segi serangan, mereka tidak ada pelan serangan balas yang baik.
Pertarungan separuh masa kedua
Perak perlu mencari gol! Mereka mulai membuka ruang di dalam struktur mereka. Kesannya lebih banyak hantara pembunuh dialirkan oleh JDT di kawasan serangan.
Ini adalah gambaran bagaimana Guerra melakukan ‘killer/peneterative pass’ membelah pertahanan Perak dalam keadaan zon 14 lebih terbuka.
Perak hilang fokus
Selepas pengadil membatalkan gol mereka kerana dikatakan dalam keadaan ofsaid. Perak terus hilang fokus dan JDT menambah 2 lagi gol. Mereka jelas sekali sukar untuk bersaing secara keseluruhannya.
Gol ke-2 JDT adalah kerana kesilapan defensif oleh Nazirul Naim yang gagal mengeluarkan hantaran Afiq Fazail.
Dan gol ke-3 adalah dalam keadaan pemain-pemain Perak sudah semakin hilang tumpuan.
Penilaian
Mehmet Durakovic memulakan perlawanan ini dengan pendekatan yang pasif. Beliau tidak ada pelan untuk pro-aktif mencari gol.
Namun pemain-pemain muda Perak berjaya bersaing lebih sejam dalam perlawanan ini. Disiplin pada separuh masa pertama dan kesungguhan mereka untuk mencari gol harus dipuji.
Hafizul Hakim membuktikan beliau memang dalam prestasi terbaik dan selayaknya menjadi penjaga gol pilihan utama Vingada.
Namun malangnya, kualiti hantaran dan servis mereka agak lemah. Mereka banyak bergantung kepada situasi bola mati.
Untuk pasukan JDT. Beberapa pemain gagal beraksi baik seperti Safiq Rahim yang menyukarkan usaha mereka untuk memecahkan zon 14. Ghaddar masih ada isu tidak cukup ‘gel’ dengan trio serangan dan juga barisan tengah.
Namun begitu pemain seperti Kunanlan dan Cabrerra memberikan tenaga yang kuat di 2 sektor kiri dan kanan. JDT lebih tajam dalam menyempurnakan peluang yang mereka ada.
Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Gabriel Guerra (JDT)
2 bantuan gol dan 1 gol daripada beliau sudah cukup untuk memberikan beliau penghargaan ini!