Ketika tersebar khabar angin enam pemain Skuad Sukan SEA 2017 sedang diintai kelab Thailand pasca temasya Sukan SEA tempohari, penulis serta-merta teringat kepada ‘sekumpulan kecil’ pemain Malaysia yang pernah berkelana ke sana.
Jika disoroti sejarah terdekat, beberapa pemain negara sebenarnya pernah beraksi di Liga Thailand. Bukan seorang tapi empat orang pemain sekaligus pernah beraksi di Divisyen 1 Thailand selama setahun pada tahun 2012.
Namun, tidak seperti sekarang, berita penghijrahan empat pemain tersebut kurang mendapat perhatian dan boleh dikatakan hanya segelintir peminat bolasepak tanahair yang mengetahuinya.
Siapakah yang berjaya berkelana ke liga negara jiran tersebut?
Semuanya BOLA berjaya mendapatkan dua daripada empat orang pemain yang sudi berkongsi cerita mengenai penghijrahan mereka pada tahun 2012 tersebut. Mereka adalah Khairul Iskandar Ismail dan Amir Omar Khata.
Disebalik musibah, ada rezeki menanti di negara jiran
Khairul Iskandar, berusia 30 tahun dan kini merupakan kapten skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) Pulau Pinang. Mengimbau kembali kisah penghijrahannya, ia bermula apabila dia digugurkan di saat-saat akhir oleh Pos Malaysia FC.
“Selepas meninggalkan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2011, saya mencuba nasib dengan Pos Malaysia FC dan telah berjaya dalam sesi pemilihan. Tetapi, saya telah digugurkan pada saat-saat akhir,” Khairul Iskandar membuka bicaranya kepada Semuanya BOLA.
Sebelum bersama ATM, Khairul telah beraksi empat musim bersama Pulau Pinang sehingga musim 2010, tahun terakhir sebelum Pulau Pinang berdepan dengan pelbagai krisis sehingga terhumban ke saingan Piala FAM.
“Kami pergi 4 orang sebab kami dari ATM ingin mencuba nasib untuk bersama Pos Malaysia FC. Namun, pada saat akhir, kami berempat digugurkan, mungkin disebabkan permintaan gaji,” jelas Khairul lagi yang nyata kecewa dengan peristiwa itu.
Selain Khairul, tiga lagi rakan tersebut adalah penjaga gawang, Amir Omar Khata, Chun Keng Hong dan Suhaidi Akmal. Khairul, Chun Keng Hong dan Suhaidi Akmal adalah pemain yang bermain di posisi pertahanan.
Disebabkan itu, mereka telah nekad untuk bersama-sama mencuba nasib di liga negara jiran, Thailand. Ini kerana, peluang untuk mereka kembali beraksi bersama kelab lain sudah tertutup dan perlu menanti sehingga jendela perpindahan kedua Liga Malaysia kembali dibuka.
Berbekalkan semangat dan bantuan daripada seorang ejen, mereka berempat telah pergi mencuba nasib dengan sebuah kelab yang berpengkalan di bahagian timur Thailand, Chanthaburi FC, yang ketika itu sedang bersaing dalam Divisyen 1, Liga Thailand.
“Nak dijadikan rezeki kami semua, kelab tersebut sepakat untuk mengambil kami berempat. Jadi, kami sudah ada kelab dan berpeluang untuk bermain,” ujar Khairul sambil menyifatkan ia satu pengalaman yang baru buat mereka.
Musim sukar buat Khairul, Amir dan Chanthaburi FC
Chanthaburi FC telah ditubuhkan pada tahun 2004 dan secara amnya bukanlah sebuah kelab yang besar. Ketika ini kelab tersebut sedang bersaing dalam Divisyen 4 Zon Timur, Liga Thailand.
Ketika ditanya mengenai perasaan ketika menyertai Chanthaburi FC, selain tidak percaya, Khairul Iskandar menyatakan ada juga terselit perasaan takut kerana pada ketika itu sedang berlaku pergolakan di selatan Thailand.
Dia turut menceritakan susah untuk mereka mendapatkan bekalan makanan kerana majoriti masyarakat di Chantaburi adalah penganut agama Buddha. Berdasarkan data dari laman web, Thai Tour, populasi masyarakat Islam di Chanthaburi adalah 0.33%.
“Susahnya adalah dari segi makan, itu perkara utama apabila beraksi di sana. Di tempat saya, masjid pun tidak nampak langsung. Hanya kami dan pemain import sahaja yang beragama Islam,” jelasnya mengenai cabaran apabila beraksi di sana.
Namun, menurut Khairul lagi, walaupun Islam adalah minoriti di sana, namun tiada langsung unsur-unsur perkauman yang timbul. Malah makanan untuk mereka juga telah dijaga dengan baik dan dimasak secara berasingan.
Menyentuh mengenai latihan pula, Khairul menjelaskan kelab di sana sangat mementingkan isu kecergasan pemain. Dalam nada berseloroh, Khairul menyatakan yang dari pagi hingga petang mereka akan berlatih serta berlari sehingga warna kulit turut berubah.
“Banyak perbezaan dari segi teknikal pemain dan permainan. Tempo pemainan di sana laju, pemain tempatan mereka pun berkualiti. Apatah lagi pemain import,” jelas Khairul mengenai perbezaan kelab di sana dan di Malaysia.
“Susah untuk beraksi di sana. Setiap hari bangun dari tidur, saya sentiasa fikir bagaimana untuk bersaing mendapatkan tempat dengan pemain tempatan mereka,” tambah Khairul lagi yang merupakan kapten Pulau Pinang pada musim 2010.
Sementara itu, penjaga gawang skuad PERR Pulau Pinang, Amir Omar Khata juga sependapat dengan Khairul. Baginya pada awal penyertaan mereka, amat susah untuk mereka serasi dengan latihan dan permainan Chanthaburi FC.
“Namun, selepas itu kita akan lebih yakin lagi dalam membentuk keserasian. Hendak berebut tempat dalam kesebelasan utama juga sangat susah. Mereka memiliki ramai pemain bagus,” tambah Amir lagi yang kini berusia 28 tahun.
Melihatkan rekod liga pada tahun tersebut, Chanthaburi FC telah menamatkan musim tersebut pada kedudukan terbawah liga dengan hanya mengutip empat mata daripada 34 perlawanan.
‘The Forest Bulls’ akhirnya diturunkan pangkat ke Divisyen 2 Zon Timur atau kini dikenali sebagai Thai League 4 (Divisyen 4) pada musim berikutnya. Itu adalah musim pertama dan terakhir mereka berempat beraksi di sana.
Ada apa dengan Liga Thailand?
Bercerita mengenai liga di Thailand, Khairul menyatakan yang media di sana memainkan peranan yang sangat penting dalam mengangkat sukan bola sepak mereka ke tahap yang semakin baik ketika ini.
“Liputan liga Eropah sangat sedikit berbanding liga tempatan mereka,” tutur Khairul sambil menyatakan setiap kali mereka beraksi, pasti akan ada siaran langsung di Chanthaburi.
Menurut Khairul lagi, setiap negeri mereka mempunyai siaran televisyen mereka tersendiri.
“Pemain tempatan di sana sangat berkualiti, mungkin salah satu faktor adalah projek akar umbi mereka yang berjaya. Disebabkan itu, penyokong mereka agak terkejut dengan kehadiran kami, pemain-pemain daripada Malaysia,” jelas Khairul lagi.
Sementara itu, Amir Omar Khata pula berpendapat beberapa aspek bola sepak di sana mungkin sama dengan Malaysia. Namun banyak kelab di Thailand telah diswastakan. Penswastaan dalam erti kata sebenar, bukan penjenamaan semula.
Itulah perbezaan ketara antara kelab di Malaysia dan Thailand.
“Lebih profesional dan tersusun, swasta serta lebih banyak kelab bertanding,” ujar Amir yang telah mendapat lebih kurang 10 penampilan bersama Chanthaburi FC apabila ditanya mengenai tiga perkara menarik berkenaan Liga Thailand.
Apa yang dikatakan Amir mengenai banyak kelab bertanding, ada kebenarannya. Liga Thailand merangkumi lima divisyen utama iaitu Thai League 1 (TL 1), TL 2, TL 3, TL 4 dan Amateur Tournament (Kejohanan Amatur). Berikut merupakan jumlah pasukan mengikut divisyen:
- TL 1 – 18 pasukan
- TL 2 – 18 pasukan
- TL 3 – 32 pasukan
- TL 4 – 64 pasukan
- Kejohanan Amatur: 119 pasukan
Pasca Chanthaburi FC
Selepas pulang daripada Thailand, Khairul Iskandar telah beraksi bersama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC) untuk empat musim, sehingga kelab tersebut dibubarkan pada musim 2015.
“Semasa di Chanthaburi, jurulatih Zabidi Hassan ada mesej saya dan meminta saya untuk membantu skuad PBAPP FC,” ujar Khairul mengenai penyertaannya bersama kelab yang ditubuhkan pada 2012 itu.
Pengalaman Khairul ingin ditagih oleh kelab baharu tersebut dan pada musim 2013, PBAPP FC muncul naib johan saingan Piala FAM. Namun akibat penarikan diri penaja utama, skuad ‘Waterboys’ akhirnya terkubur selepas empat musim.
Sebelum menyertai skuad PERR Pulau Pinang, Khairul hanya bermain untuk liga-liga tempatan di Pulau Pinang dan Kedah. Namanya kian pudar sehinggalah berjaya mengemudi Pulau Pinang melangkah ke separuh akhir PERR 2017 baru-baru ini.
“InsyaAllah, sekiranya khidmat saya diperlukan. Siapa yang tidak mahu bermain untuk tempat kelahiran sendiri,” jelas Khairul apabila Semuanya BOLA bertanya adakah masih berminat sekiranya Pulau Pinang ingin menagih kudratnya untuk Liga Premier musim hadapan.
Sebelum bersama skuad PERR Pulau Pinang, Amir Omar Khata pernah beraksi bersama Sungai Ara FC, sebuah kelab daripada Pulau Pinang yang beraksi di Piala FAM dan telah berjaya membawa kelab tersebut sehingga ke peringkat suku akhir musim lalu.
Namun pada Februari lalu, Sungai Ara FC akhirnya mengumumkan penarikan diri daripada menyertai kejohanan Piala FAM 2017 akibat masalah penajaan.
Untuk kejohanan PERR 2017, Khairul dan Amir telah berjaya membawa skuad Pulau Pinang melangkah ke peringkat separuh akhir ketika ini. Boleh rujuk artikel ini mengenai perkembangan skuad PERR Pulau Pinang.
Penutup
Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Setiap rezeki perlu diusahakan, ia tidak akan datang dengan sendirinya. Ini mungkin pepatah yang sesuai untuk menggambarkan kisah perjalanan keempat-empat pemain ini.
Mereka telah membuktikan betapa pemain bola sepak di Malaysia boleh dan mampu beraksi di Liga Thailand. Ya, ada cabaran dan dugaan, namun, persediaan mental yang sesuai mampu membantu para pemain dalam perjalanan karier mereka di luar negara.
Bak kata Khairul sebelum menutup bicara, “Tiada benda yang mustahil, kena usaha. Hati juga kena kental berjuang untuk bermain.”