Wakil daripada kelab Hoang Anh Gia Lai, Nguyen Tan Anh mendedahkan pemain tengah skuad Vietnam bawah 22 tahun, Luong Xuang Truong telah menarik minat beberapa kelab eropah untuk menggunakan khidmatnya.
“Beberapa kelab dari eropah dan Korea telah membawa tawaran rasmi untuk Luong Xuang Truong. Luong mungkin tidak akan kembali ke Vietnam musim depan. Perpindahannya masih dalam proses rundingan di antara pengerusi kelab HAGL iaitu Doan Nguyen Duc dengan wakil dari kelab luar,” katanya kepada media Vietnam.
Truong dipinjamkan ke kelab K-League, Gangwon FC dari Incheon United awal tahun ini. Pemain yang berusia 22 tahun itu sudah beraksi di Korea Selatan selama 2 tahun dan masih belum berpeluang untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Sehingga kini, beliau sudah membuat penampilan sebanyak 3 kali bersama Gangwon FC dengan mencatat 2 kemenangan dan 1 kekalahan. Truong juga sempat beraksi dalam saingan Sukan SEA di Kuala Lumpur bulan lepas bersama skuad kebangsaan Vietnam bawah 22 tahun.
Truong mula bermain bola sepak ketika berusia 5 tahun dan dilatih oleh bapanya. Pada tahun 2007, ketika bermain untuk pasukan daerah Tuyen Quang U13 dalam kejohanan remaja di Hanoi, pasukannya berada dalam satu hotel bersama pasukan Akademi HAGL – Arsenal JMG dimana jurulatih pasukan itu sedang mencari calon pemain untuk akademi mereka.
Truong kemudiannya mengambil peluang itu untuk menunjukkan bakatnya dan diterima masuk ke akademi tersebut. Beliau bersama 4 lagi pemain mendapat jemputan untuk berlatih bersama pasukan Arsenal U17.
Penasihat prestasi akademi Arsenal, Steve Morrow memuji prestasinya dan Arsene Wenger tertarik dengan pemain daripada akademi HAGL di mana mereka mengalahkan Arsenal U17.