Real Madrid tewas di Turin tetapi membawa 1 away goal sebelum perlawanan kedua di Santiago Bernabeu minggu depan. Juventus menjaringkan gol dahulu sebelum Real Madrid bangkit menguasai separuh masa pertama dan menjaringkan gol penyamaan. Pada separuh masa kedua, kesilapan Dani Carvajal menghadiahkan penalti untuk Juventus kembali mendahului 2-1.
Kesebelasan utama
Juventus bermain dalam formasi ‘4-4-2 diamond’ atau 4-3-1-2 dengan Vidal di bucu atas dan Pirlo di bucu bawah. Stefano Sturaro diberi kepercayaan untuk bermula dalam kesebelasan utama walaupun baru bermain 3 minit dalam kempen UEFA Champions League musim ini. Alvaro Morata bergandingan dengan Carlos Tevez dalam pertemuan pertama menentang kelab lamanya.
Sementara itu, Sergio Ramos sekali lagi diberi kepercayaan oleh Carlo Ancelotti untuk bermain di midfield. Gareth Bale kembali ke kesebelasan utama untuk mengepalai serangan bersama Cristiano Ronaldo selepas Karim Benzema mengalami kecederaan.
Fungsi Ronaldo dalam serangan
Jika anda membaca analisis taktikal kami ketika kemenangan suku akhir Real Madrid ke atas Atletico Madrid sebelum ini, anda akan sedar ada perubahan dalam tugas serangan Ronaldo dalam perlawanan ini.
Dalam suku akhir menentang Atletico Madrid sebelum ini, Ronaldo berpasangan dengan Javier Hernandez di bahagian serangan. Ini bermakna Ronaldo perlu terlibat dalam build-up ketika Real menyerang – sesuatu yang jarang beliau lakukan apabila beliau bergandingan dengan Karim Benzema.
Dengan Karim Benzema yang terlibat dalam build-up serangan, Ronaldo dapat meletakkan dirinya di kotak penalti untuk menjaringkan gol.
Ancelotti memilih Bale berbanding Hernandez semalam untuk berfungsi mengembalikan potensi jaringan gol Ronaldo. Bale berfungsi di posisi Benzema, melibatkan dirinya dengan build-up serangan Real Madrid terutamanya di bahagian tengah sebelah kanan. Dengan kehadiran Bale, Ronaldo dapat bermain seperti biasa – menyudahkan build-up serangan pasukannya.
Baca juga: Analisis Taktikal: Real Madrid 1-0 Atletico Madrid
Real Madrid tak dapat menangani tempo hantaran Juventus di tengah
Perlawanan ini menarik kerana ia menampilkan dua pasukan dengan taktikal berbeza. Juventus dengan formasi 4-4-2 diamond dan Real Madrid dengan formasi lopsided 4-4-2/4-3-3.
Dengan adanya Pirlo, Sturaro, Marchisio dan Vidal di tengah padang, Juventus mempunyai kelebihan pemain di tengah berbanding Real Madrid yang hanya mempunyai Ramos dan Kroos. Situasi 4v2 di tengah padang jelas memihak Juventus.
10 minit pertama perlawanan, Juventus menyimpan bola dengan sangat baik. Tempo hantaran pendek mereka di tengah terlalu laju untuk dihalang Ramos dan Kroos. Apabila James dan Isco masuk ke tengah untuk mengurangkan kelebihan 4v2 kepada 4v4, Juventus hanya perlu ‘recycle posession’ (memulakan serangan dari bawah semula) kepada Pirlo.
Pirlo pula bijak – melihat bahagian tengah yang sudah sesak, beliau memindahkan bola kepada Lichtsteiner dan Evra untuk memulakan serangan.
Gol pertama Juventus pada minit 9′ adalah testimoni dominasi Juventus di bahagian tengah. Marchisio yang jelas tidak dikawal sesiapa mudah menghantar bola ke laluan Tevez yang merembat untuk menghasilkan peluang tap-in Alvaro Morata.
Pirlo – epitomi seorang regista
Jika anda mahu belajar apa itu regista dan bagaimana regista bermain – perhatikan Andrea Pirlo pada setiap masa.
Sentiasa berada di bucu bawah diamond Juventus, Pirlo membantu Juventus merancang serangan dari bawah dengan turun ke bawah mengutip bola di ruang antara Bonucci dan Chiellini seperti ini:
Ketika Juventus sedang menyerang, Pirlo sentiasa bersedia menjadi ‘recycle possession point’ untuk Juventus. Apa maksudnya? Ia bermakna setiap kali pemain Juventus yang lain tidak dapat menggelecek/ membuat hantaran melepasi pertahanan Real Madrid, mereka akan memulangkan bola kepada Pirlo semula.
Bola yang dipulangkan ke Pirlo bermakna Juventus memulakan serangan dari kosong semula. Ini memudahkan kerja Evra dan Lichtsteiner untuk mengekalkan penguasaan bola Juventus kerana mereka berseorangan di sayap masing-masing seperti yang ditunjukkan dalam Statszone di bawah.
Real Madrid menyerang melalui sayap
Taktik 4-4-2 diamond bukanlah asing bagi Carlo Ancelotti yang pernah menggunakan taktikal sama ketika beliau mengurus Kaka, Rui Costa, Clarence Seedorf dan Massimo Ambrossini di AC Milan.
Kelemahan taktik ini adalah di sayap – di mana Lichtsteiner dan Evra boleh terdedah kepada situasi 2v1 setiap kali Real Madrid menyerang melalui sayap.
Dan inilah yang Real Madrid lakukan dalam 35 minit separuh masa pertama.
Selepas gol Morata, Real Madrid menggandakan asakan melalui larian Dani Carvajal-James di sayap kanan dan Marcelo-Isco di sayap kiri. Perhatikan posisi Carvajal dan Marcelo (dalam bulatan merah) dalam rajah di bawah ini.
Akhirnya Real Madrid memperoleh gol penyamaan melalui serangan di sayap kanan mereka (kawasan Evra). James Rodrigues dan Dani Carvajal bergabung untuk mengkucar-kacirkan kawasan Evra – sehingga Chiellini terpaksa keluar dan memberi ruang luas di kotak penalti Juventus untuk gol mudah Ronaldo.
https://www.youtube.com/watch?v=1jYZwx45rrI
Respons Max Allegri
Melihat pasukannya bergelut menangani serangan Real Madrid di bahagian sayap, Max Allegri mengarahkan Sturaro marking James dan Marchisio marking Isco.
Strategi Allegri ini tidaklah begitu berkesan kerana ia menyebabkan struktur diamond Juventus menjadi berterabur seperti yang berlaku dalam peluang keemasan James Rodriguez yang terkena palang ini.
https://www.youtube.com/watch?v=PkWpaXJA8uI
Pada separuh masa kedua, Allegri mengarahkan pasukannya kembali menyerang. Tempo hantaran mereka di tengah bertambah laju berbanding separuh masa pertama. Vidal kerap melakukan shuttle run ke bahagian sayap untuk menyokong Lichtsteiner dan Evra.
Walaupun serangan Juventus tiada penetrasi dan mudah dipatahkan oleh Real Madrid, perubahan taktikal Juventus ini menyukarkan Carvajal dan Marcelo untuk naik menyerang seperti di separuh masa pertama.
Bagaimanapun perlawanan berubah selepas kesilapan Carvajal yang menjatuhkan Tevez dalam kotak penalti. Memandangkan bola sudah berada di kaki kiri Tevez, tidak ada keperluan bagi Carvajal untuk menjatuhkan Tevez.
Juventus berubah kepada 3-5-2, Real Madrid kepada 4-3-3
Selepas gol penalti Tevez, Max Allegri terus memasukkan Andrea Barzagli untuk membentuk 3 pertahanan tengah dalam formasi 3-5-2 – taktikal Juventus di bawah kendalian Antonio Conte.
Idea Allegri adalah jelas – mahu mengajak Real menyerang dan memberi tekanan kepada pertahanan kebalnya sebelum hilang bola dan diserang balas oleh 2 penyerang Juventus.
Juve trying to tempt the Real press so they can knock balls over the midfield into the front two quickly
— Michael Cox (@Zonal_Marking) May 5, 2015
Real Madrid bertindak balas dengan memasukkan Javier Hernandez dan mengeluarkan Gareth Bale yang tidak efektif. Real cuba menyerang, tetapi Juventus sudahpun berkampung di kubu mereka untuk mempertahankan kelebihan satu gol mereka.
Kesimpulan
Juventus dijangka akan bermula dengan formasi 3-5-2 di Santiago Bernabeu untuk mempertahankan kelebihan satu gol mereka. Pelan mereka nanti adalah menyerap asakan Real Madrid sehingga mereka kehilangan bola sebelum menghantar bola ke ruang luas di kubu Real Madrid untuk dikejar oleh dua penyerangnya.
Real Madrid pula berdepan tugas berat untuk memecah kubu kebal Juventus minggu hadapan. Bermain di hadapan penyokong sendiri, tugas ini tidak mudah lagi-lagi dengan rekod mereka yang tidak pernah layak ke final selepas kalah perlawanan pertama separuh akhir.
Baca juga: Juventus Cipta Rekod Baru Dalam Liga Juara-Juara Musim Ini
Sumber: UEFA.com, Statszone Four Four Two
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter